Terowong berkembar terpanjang Asia Tenggara bakal menjadi milik Terowong Genting yang mempunyai panjang kira-kira 16.39 kilometer. Terowong ini merupakan terowong yang dibangunkan dalam seksyen C Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
Sepanjang 6.39 kilometer meliputi kawasan melibatkan Negeri Selangor dan 10 kilometer Negeri Pahang. Proses mengorek terowong tersebut akan melibatkan penggunaan mesin penggorek terowong (TBM) tercanggih dan terbesar di Malaysia.
Mesin TBM ini mempunyai kapasiti maksimum penggorekan 700 meter sebulan. Jadi, anggaran masa untuk melengkapkan proses penembusan keseluruhan Terowong Genting akan melibatkan tempoh sehingga 2 tahun setengah sehingga 3 tahun.

Semua 59 terowong yang terlibat dalam projek ECRL ini menggunakan kaedah gerudi dan letup namun untuk Terowong Genting, mesin TBM buatan China ini perlu digunakan. Mesin ini mempunyai berat 1600 tan dan panjang 266 meter.
Mesin ini mampu menembusi Banjaran Titiwangsa di sepanjang kawasan Bukit Tinggi yang menghubungkan Bentong, Pahang dengan Terminal Bersepadu Gombak iaitu pintu masuk utama ibu negara.
Pembinaan Terowong Berkembar Genting ini adalah antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan ‘jambatan darat’ atau landbridge bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.
Sebuah lagi struktur utama yang turut dibina di bawah fasa pembinaan di Pahang adalah jambatan ‘Super Major Bridge’ sepanjang 3.88 kilometer menyeberangi Sungai Kuantan.

Apabila siap nanti, ia akan membolehkan ECRL merentasi kawasan berisiko banjir, serta Sungai Kuantan dan Jalan Kuantan Sungai Lembing. Tujuh stesen ECRL akan dibina di Pahang iaitu Cherating, Bandar Pelabuhan Kuantan, KotaSAS, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong.
Projek ECRL menelan kos RM50.27 bilion dan telah menyaksikan tahap kemajuan projek sebanyak 30 peratus sehingga bulan Mei lalu. Projek ECRL ini melibatkan jarak jajaran 665 kilometer (km) merentasi empat buah negeri merupakan satu pencapaian bersejarah negara. Ia dijangka beroperasi pada Januari 2027.
