Kejadian banjir baru-baru ini sekali lagi memberi tamparan kepada orang ramai. Ramai yang kehilangan harta benda, ada juga kediaman yang paras air sudah mencecah bumbung malah bencana ini turut meragut beberapa nyawa.
Usai surutnya banjir, mereka yang terkesan akan membersihkan serta mengemas kediaman masing-masing. Suatu yang menyedihkan apabila hanya mampu memilih barang atau perkakas elektrik mana yang masih boleh diselamatkan.
Bagi membantu mereka yang diuji dengan musibah banjir ini, sebuah projek iaitu “Projek Kering” Banjir 2021 telah dilancarkan. Untuk pengetahuan anda, projek bantuan baik pulih peralatan elektrik secara percuma ini merupakan anjuran antara Bizzakat, Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Banjero Squad.


Pasukan Projek Kering sudah mula bergerak hari ini dan mereka telah menerima respon hampir 1000 permintaan. Bagaimana prosedur projek ini berjalan? Mangsa banjir hanya perlu isikan maklumat dalam borang yang disediakan. Pasukan sukarelawan kemudiannya akan bergerak ke lokasi anda untuk kerja baik pulih.


Turut terlibat dalam menjayakan projek ini ialah pelajar-pelajar dari Giatmara, Pahang Skills serta KYP Skills. Sekiranya anda mempunyai perkakas elektrik yang rosak atau anda berminat mendaftar sebagai sukarelawan untuk membaiki, boleh isi borang di sini.