fbpx

Perjalanan Kula Cakes: Bagaimana Bermula, Idea Dan Membesar

- Sponsor -

Kula Cakes! Rasanya kami tak perlu perkenalkan lagi kedai kek yang satu ini di Kuantan. Cukup terkenal dengan menu Manggo Cheese Cake, kafe dengan konsep unik ini bukan sahaja menjadi tarikan penduduk lokal, malah ia mendapat perhatian pelancong dalam dan luar negara.

Jika datang ke Kuantan, ia seakan percutian yang tidak sempurna jika tidak berkunjung ke Kula Cakes. Kula Cakes bukan sekadar kedai kek, namun telah disenaraikan sebagai lokasi wajib dikunjungi pelancong di Kuantan.

Pengiktirafan ini dilabel oleh laman web pelancongan dunia seperti TripAdvisor dan Lonely Planet sebagai ‘Top Choice’ diadili berdasarkan pengalaman mereka yang telah berkunjung ke sini sendiri.

- Sponsor-

Setiap kali lalu di hadapan Kula Cakes, pertanyaan ini selalu bermain di fikiran kami.

“ Siapa otak di sebalik Kula Cakes ni? Kedai tak lah besar mana, cawangan pun tak ada. Tapi boleh jual kek sampai satu Malaysia teruja nak cuba. Sebab Kula Cakes punya hal, orang yang tak nak datang Kuantan pun terpaksa datang! ”

Baharu-baharu ini kami berkesempatan untuk menemu bual salah seorang tangan-tangan di sebalik kejayaan Kula Cakes, beliau adalah saudara Aman Ishak. Dan akhirnya semua persoalan yang bermain difikiran kami telah terjawab.

Tapi sebelum tu, kami kongsikan sedikit informasi mengenai Kula Cakes buat pengenalan anda.

Kula Cakes ialah sebuah kafe berkonsepkan alam semulajadi di Kuantan, Pahang yang menawarkan pelbagai pilihan kek. Manggo Cheese Cake antara pilihan popular di sini.

Kiranya, Kula Cakes ini antara kedai kek yang terawal di Malaysia yang memperkenalkan hidangan kek kombinasi rasa mangga dan keju.

- Sponsor -

Terletak di Jalan Besar, Kuantan, Kula Cakes bukan sajamenawarkan pelbagai pilihan kek yang enak, namun keunikan kedai yang dihiasi interior menawan ini bakal memberikan pelanggan pengalaman makan yang seronok dan rileks!

Siapa Aman Ishak?

Anak jati Kuantan, Pahang. Berpendidikan lepasan Actuarial Science daripada UITM. Selain memainkan peranan penting di Kula Cakes, beliau juga mengusahakan tiga kafe dan kedai makan yang lain di Kuantan iaitu Restoran Lilawadi, Rasa Sayang dan Costal Store.

Sebaik tahu perkara ini, ia cukup buat kami bertambah teruja kerana tiga tempat makan ini (Restoran Lilawadi, Rasa Sayang dan Costal Store) juga antara tempat makan yang TOP dalam industri pelancongan negeri Pahang. Awesome!

Seorang Yang Terlalu Sayangkan Kuantan.

Jawapan yang diberi bila ditanya apa rahsia kejayaannya amat ringkas dan bermakna.

“Love the city, and the city will love you back”

Ungkapannya cukup untuk buat kami faham supaya belajar mencintai tempat sendiri, kebaikan akan datang dengan sendirinya jika kita reti menghargai.

Menurut Aman, beliau percaya Kuantan berpontensi dan mampu menjadi salah satu tempat menarik di dunia. Untuk mencapai matlamat tersebut, ia bukanlah satu cita-cita kosong. Semua orang perlulah memainkan peranan termasuk dirinya.

- Sponsor -

Memiliki tempat sekadar cantik bukanlah kekuatan untuk membina Kuantan sebagai tempat menarik di dunia.

Tempat cantik itu hanyalah salah satu sebab sahaja, ada banyak lagi faktor penting yang perlu diambil kira seperti, kebersihan tempat tersebut, nilai budaya, sikap baik penduduk tempatan, kemudahanawam, keunikan tradisi dan sebagainya.

Semua ini adalah pelengkap untuk menjadikan sesebuah tempat itu menarik.

Tambah beliau lagi, Kuantan cukup sempurna. Kuantan kaya dengan keindahan alam semulajadi. Kuantan ada air terjun yang tenang, pantai cantik, sungai, ada kebun durian, bukit, gunung dan gua.

Apa yang tinggal hanyalah memanfaat serta menambah baik apa yang sudah ada. Ia adalah tugas semua orang. Semua pihak haruslah berkerjasama dengan baik jika ingin mencapai matlamat tersebut.

Antara harapan Aman Ishak, moga suatu hari nanti Kuantan dimeriahkan dengan pelbagai kemudahan dan aktiviti berfaedah.

Contohnya ada laluan khas untuk pejalan kaki, lorong basikal, muzium-muzium unik seperti muzium kamera di Jepun, acara persembahan muzium, kebudayaan setiap minggu serta tempat khas untuk pelancong mendapatkan cenderahati.

Dengan bakat-bakat kreatif anak tempatan yang ada, Aman Ishak yakin semua ini mampu dilaksanakan. Tidak mustahil Pahang bakal menjadi negeri contoh dalam industri pelancongan yang hebat di Malaysia.

Cita-cita tinggi adalah percuma, dan tidak mustahil.

Inspirasi.

Mengambil inspirasi daripada perniagaan ibunya, ia anugerah yang amat bernilai bagi Aman Ishak. Sejak usia muda beliau sudah mempelajari ilmu berkaitan bakery melalui perniagaan kuih ibunya.

Ketika itu perniagaannya hanyalah bermula di depan rumah sahaja. Meskipun begitu, perniagan kuih-muih itu mampu memberikan impak besar kepada keluarganya apabila ia mula mendapat permintaan tinggi dari hotel-hotel dan restoran.

Driven by passion”, itulah ungkapan yang keluar dari mulut Aman bila bercerita mengenai ibunya yang sangat mementingkan rasa dan kualiti kuih yang dibuat berbanding mahu mengejar untung.

Bagi beliau, ibunya adalah orang yang banyak memberikan inspirasi dan tunjuk ajar dalam perniagaan yang kemudiannya diterjemahkan semula daripada tradisional kepada kaedah yang lebih praktikal dan relevan dari segi pengurusan perniagaan, kewangan, pemasaran dan lain-lain.

Idea

Berpandukan matlamat menjadikan Kuantan destinasi terbaik di dunia, dari situlah idea mewujudkan tempat menarik di Kuantan ini bermula.

Seterusnya menjadikan Kula Cakes sebahagian daripada matlamat tersebut. Perniagaan ini diusahakan oleh beliau bersama dua lagi rakannya yang berkongsi minat sama dalam hobi surfing pantai iaitu Farisha Mazlan dan Waqi Latifi.

Mula

Nama Kula Cakes itu sendiri terhasil adalah dari minat mereka dalam surfing yang mengidolakan dan dipengaruhi oleh budaya surfing sendiri.

Perkataan ‘Kula’ ini mempunyai banyak maksud dalam banyak bahasa. Dalam bahasa Hawaii ia membawa maksud “emas” manakala dalam bahasa sanskrit pula bererti “komuniti”.

Seterusnya cuba menterjemahkan maksud-maksud ini dalam jenama mereka. Salah satunya ialah pada Mango Chees Cake, terjemahan imaginasi kek berbentuk jongkong emas.

Membesar

Beliau buat masa ini memberi fokus mempertingkatkan kualiti perniagaan sedia ada dan lebih selesa dalam konsep seperti sekarang.

Bila ditanya berkenaan membuka cawangan lain atas permintaan, beliau masih meletakkan ia sebagai satu perancangan cuma ia bukanlah dalam masa terdekat.

Banyak aspek perlu dititik beratkan dalam kematangan perniagaan. Perinsip beliau adalah berkembang dengan cara yang organik tanpa menggunakan jalan pintas untuk memajukan perniagaan.

Walaupun perniagaan Kula Cakes berada dalam zon selesa, namun ia tidak bermakna mereka boleh menarik nafas lega.

Kejayaan yang dicapai Kula Cakes hari ini adalah berkat kesabaran dan usaha keras sebuah pasukan yang komited melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Bagi Aman Ishak, teknik pemasaran yang dilakukan pasukan mereka mungkin agak berbeza daripada kebiasaan bisnes lain. Salah satunya mungkin faktor pemilihan lokasi Kula Cakes terhasil dari pencahayaan semulajadi yang cukup.

Memandangan generasi sekarang gemar bersosial di media dengan berkongsi foto-foto cantik, Kula Cakes berjaya memenuhi selera mereka dan berperanan sebagai sebuah tempat yang mesra untuk fotografi.

Ia sebenarnya memberi impak secara tidak langsung apabila pelanggan seronok untuk berkongsi foto dan produk Kula Cakes di media sosial mereka terutama di Instagram.

Kula Cakes sangat percaya dengan enviroment mereka. Penghasilan makanan yang menepati citarasa dan cara bagaimana produk itu dipersembahkan kepada pelanggan juga memainkan peranan penting bagi memberikan great experience kepada pelanggan.

Beliau berpendapat banyak faktor yang membantu Kula Cakes sampai ke tahap ini.

Apa yang paling penting adalah dalam penjagaan produk itu sendiri agar mampu memberikan pelanggan pengalaman dan rasa berpuas hati menikmati produk Kula Cakes setanding jenama besar yang lain.

Sentiasa menjaga kualiti amat penting dalam perniagaan supaya wujud rasa cinta dihati pelanggan. Kongsinya, influencer media sosial Hanis Zalikha memberikan impak besar sehingga pengikut Instagram Kula Cakes mencecah 10,000 dalam masa 3 hari secara organik.

Inilah kesannya jika pelanggan berasa gembira terhadap produk dan jenama kita, lebih-lebih lagi jika pelanggan tersebut merupakan seorang selebriti popular.

Bercakap soal cabaran pula, ia adalah asam garam dalam dunia perniagaan. Setiap bisnes pasti akan berhadapan dengan cabarancabaran tertentu.

Bagi Kula Cakes, mereka kini dalam usaha membantu pelanggan mendapatkan pengalaman baik dalam servis yang disediakan.

Sedar akan pelanggan terpaksa beratur panjang untuk membeli, Kula Cakes dalam usaha berkerjasama dengan seorang pereka interior tempatan untuk menambah baik kedai sedia ada.

Selain itu mereka juga telah memperkenalkan sistem tempahan secara online di mana pelanggan kini tidak perlu lagi beratur panjang untuk menikmati kek di Kula Cakes.

Pelanggan kini boleh membuat tempahan dan melakukan pembayaran secara online kemudian self-pick up di Kula Cakes secara terus.

Servis penghantaran juga turut disediakan, cuma mereka masih merancang mendapatkan idea untuk memberikan pengalaman baik kepada pelanggan walaupun mereka menikmati produk Kula Cakes di meja makan sendiri.

Sebelum mengakhiri pertemuan bersama Aman Ishak, kami sempat mendapatkan sedikit tip motivasi yang mungkin boleh dipraktikan oleh usahawan jika mahu berjaya dalam bidang perniagaan.

Ada tiga perkara utama yang patut diberi perhatian:

1. Sentiasa memberikan kepuasan terbaik kepada pelanggan merangkumi kualiti kebersihan, kualiti layanan dan kualiti produk.

2. Dari sudut pengurusan kewangan pula, usahawan perlu berdisiplin menguruskan akaun dan dokumentasi rekod kewangan perniagaan.

3. Sumber Manusia (Human Resource) juga memainkan peranan penting bagi memastikan pekerja berada dalam sebuah organisasi yang selesa dan menyeronokkan.

Aman Ishak tumpang gembira di atas kemajuan Kula Cakes sekarang, ia sebenarnya adalah hasil sokongan orang Kuantan sehingga mampu menjadi salah satu produk lokal yang dibanggakan.

***

Berdasarkan perkongsian bersama saudara Aman, kami perhati ada beberapa poin penting yang mungkin patut kami kongsikan semula bersama anda.

Yang pertama, untuk berjaya dalam bisnes, paling utama sekali adalah meletakkan satu matlamat dahulu kenapa kita mahu mulakan sesuatu bisnes.

Pastikan kita mempunyai tujuan kenapa kita memilih bisnes tersebut.

Penjagaan kualiti adalah penting untuk penjenamaan dan kebaikan bisnes tersebut agar terus mampu bertahan dalam jangka masa panjang. Perkara ini tidak boleh dibina dalam masa singkat.

Mewujudkan kepercayaan kepada pelanggan dan membuatkan mereka rasa gembira terhadap produk kita amat penting. Semuausahawan harus memberi perhatian sepenuhnya terhadap perkara ini.

Membina jenama yang bagus bagi sesebuah bisnes adalah skop yang besar, ia melibatkan banyak faktor untuk berjaya dari segi pemilihan nama, lokasi, cara penyampaian, produk berkualiti, gaya persembahan sehinggalah menitik beratkan pengalaman pengguna.

Selain itu, cara menguruskan keawangan dan pendidikan pekerja juga tidak boleh diketepikan. Pihak syarikat harus memainkan peranan untuk mengangkat nilai kerjaya pekerja pada martabat yang baik dan dihormati.

- Sponsor -
- Sponsor -