Nama Mat Kilau semakin menjadi bualan warga internet apabila filem Mat kilau sedang ditontonkan di pawagam seluruh Malaysia sekarang. Filem tersebut sudah mencatat kutipan melebihi 39 juta dan menjadi fenomena sejak ia mula ditayangkan.
Di dalam internet, sudah banyak media yang menceritakan perihal sosok yang bernama Mat Kilau ini. Ia adalah situasi yang bagus kerana semua pihak akan lebih mengenali tentang figura pahlawan pahlawan Pahang ini.
Namun, kami di sini tertarik untuk berkongsi tentang tinggalan sejarah Mat Kilau yang masih boleh dilihat di Kg Budu, Kuala Lipis, Pahang.
Mengikut catatan sejarah dalam buku Pemberontakan Pahang 1891-1895, hasil tulisan Jang Aisjah Mutalib dan Kalthum Jeram dalam Hikayat Pahang, perigi ini telah digali sejak tahun 1890an lagi.

Foto : Huzaimi Bin Othman
Perigi ini digunakan sebagai sumber air bagi penduduk setempat termasuklah Mat Kilau dan ayahndanya Imam Rasu yang ebih dikenali sebagai Tok Gajah. Tok Gajah merupakan anak jati kampung ini.
Perigi ini juga terkenal ke seluruh kampung di kawasan Mukim Budu seperti Kg Napal, Kg Kipas, Kg Terap, Kg Jerening hingga menjangkau ke Kg Chat, Kg Tualang Padang dan Kg Peruang. Sudah pasti ia menjadi sumber bekalan air utama pada zaman dahulu.
Perigi ini telah menjadi saksi kepada kerakusan pihak British serta semangat perjuangan Mat Kilau bin Imam Rasu dan pengikutnya dalam mempertahankan Mukim Budu dan Daerah Lipis.

Kawasan ini serta kawasan sekitarnya merupakan tapak peperangan di antara Mat Kilau dengan askar-askar Sikh di bawah pimpinan Colonel Walker dan Hugh Clifford.
Peristiwa berdarah itu menyebabkan Kampung Budu musnah, apabila rumah-rumah dibakar serta binatang ternakan dibunuh. Rentetan dari penyerangan tersebut seluruh penduduk kampung telah melarikan diri ke Bukit Raya (Bukit Tacing).
Sehingga ke hari ini, pergi ini masih wujud dan masih boleh dilihat oleh kita sekiranya kita berkunjung ke Kg Budu, Benta, Kuala Lipis.
Perigi ini tidak pernah kering walaupun di musim kemarau kerana terdapat lima buah mata air yang berpunca dari Bukit Gong dan Bukit Raya di dalam perigi ini.

Perigi ini telah menjadi sumber air minuman, mandian dan kegunaan seharian bagi kanak-kanak sekolah yang berulang alik pada zaman dahulu, iaitu dari Sekolah Kebangsaan Budu ke kampung disekitarnya.
Air perigi ini berkhasiat untuk diminum apabila mengalami masalah terlekat tulang ikan namun ia adalah ikhtiar sahaja dan tidak boleh berpegang yang ia boleh menyembuhkan.
Walaupun, fungsi air perigi kini sudah ditukar ganti oleh sumber air paip yang mengalir namun bagi kami ia wajar terus dijaga dan dihebahkan kerana inilah bukti sejarah yang akn menjadi tontonan untuk golongan muda.