Ada terfikir untuk ubahsuai kediaman sendiri? Bagi melaksanakan perkara tersebut, ketahuilah anda perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Untuk membuat permohonan, langkah pertama ialah anda dikehendaki melantik seorang perunding yang bertauliah. Contoh mereka yang boleh jadi perunding samada arkitek atau pelukis pelan bangunan.
Kemudian, anda perlu menyediakan pelan bangunan dikehendaki yang lengkap. Perlu juga beringat pelan tersebut mestilah mematuhi Garis Panduan dan Syarat Perancangan yang ditetapkan. Seterusnya, boleh bergerak kepada menjelaskan bayaran fi iaitu bayaran proses pelan dan permit meletak bahan binaan.


Terdapat beberapa kesan sekiranya membuat pengubahsuaian kediaman tanpa kelulusan. Antaranya ialah penalti boleh dinaikkan di mana anda boleh dikenakan 5 hingga 20 kali bayaran proses.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan boleh sahaja melakukan tindakan roboh dan kediaman juga sukar dijual semula. Kesan seterusnya ialah anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan insuran jika berlaku kemalangan atau kebakaran.


Mengikut Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133), boleh didenda maksimum RM25, 000 jika disabitkan serta perintah mahkamah untuk meroboh. Seksyen 70(13) pula menyatakan boleh didenda maksimum RM50, 000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.