Mungkin ada yang bertanya mengapa Mydin memilih untuk membuka cawangan Mydin Mall di Jengka. Kami cuba mencari maklumat yang tepat untuk menjawab persoalan ini.
Menurut laman Facebook Kuantan Development News, Mydin pernah membuat permohonan untuk membina Pasaraya Mydin Mall di Kuantan. Cubaan pertama adalah pada tahun 2008 dengan cadangan tempatnya di sekitar Sg Isap.
Manakala cadangan tempat untuk permohonan kali kedua adalah di kawasan sekitar Taman Tas, 2011. Namun, kedua-kedua permohonan itu tidak diluluskan.

Pada masa yang lain pula, kami mendapat maklumat secara lisan daripada beberapa individu di sekitar Paya Pulai, Temerloh. Individu tersebut menyatakan yang ada desas desus menyatakan pihak Mydin juga telah merancang untuk membina Mydin Mall disekitar kawasan Paya Pulai, Temerloh.
Usaha ini mendapat tentangan dan protes dari beberapa pihak yang tidak mahu perniagaan mereka diganggu disekitar kawasan Temerloh. Sejauh mana kebenaran maklumat ini? Kami juga tidak mempunyai data yang tepat dan maklumat dari sumber utama untuk membuktikannya.

Benarkah wujudnya tangan ghaib yang mengawal perniagaan peruncitan dan pemborongan di Pahang?
Walau apa sahaja persoalannya. Pembukaan Mydin Mall di sekitar Bandar Tun Razak Jengka merupakan satu peluang positif yang boleh meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk Jengka.
Selain Mydin Mall, terdapat juga Pasaraya Econsave, BS Freshmart, Pasaraya U-Mart, Pasaraya Darul Makmur dan Pasaraya B5. Kewujudan pasaraya-pasaraya ini memberi lebih pililhan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berbaloi.

Jika kita imbau kembali pada zaman awal Bandar Jengka diwartakan, hanya Pasaraya Mohamad Sapak sahaja yang menjadi pasaraya tumpuan penduduk sekitar untuk mencari barang keperluan. Namun, tapak pasaraya tersebut telah diambil alih oleh Majlis Agama Islam Pahang untuk dijadikan Darul Makmur.
Dengan aktiviti pembinaan yang semakin agresif di Bandar Jengka seperti pembinaan Stadium Tun Abdul Razak, keberadaan Universiti Teknologi Mara dan peningkatan taraf ekonomi penduduk Felda sekarang, ia pasti menyumbang kepada peningkatan taraf hidup warga wilayah Jengka keseluruhannya.