fbpx
keris tradisional pahang

Lelaki Ini Masih Kekalkan Tradisi Pembuatan Keris Tradisional Pahang

Senjata tradisional melayu yang unik. Keris terkenal sebagai senjata pendek merbahaya di dalam tradisi budaya nusantara. Ia dikatakan berasal dari Pulau Jawa, Indonesia dan telah digunakan sejak 600 tahun yang lalu.

Keris amat berkait rapat dengan kebudayaan Melayu dan juga melambangkan sebuah simbolik yang amat penting. Keris disifatkan sebagai senjata terulung masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Tak mahu meleret panjang bercerita soal mistik berkaitan keris, tapi apa yang boleh kami kongsikan mengenai kehebatan keris adalah berkait rapat dengan rupa bumi di Nusantara. Tanah di Nusantara dikelilingi pokok-pokok besar. Ia menjadikan keris senjata yang amat praktikal digunakan berbanding pedang pada waktu itu.

Selain daripada itu, saiznya yang kecil mudah dibawa ke mana-mana dan senang disorok. Kemahiran penggunaan keris oleh pendekar Melayu amat digeruni. Reka bentuk keris dicipta bukan untuk menetak, tetapi menikam. Dengan hanya satu tikaman tepat cukup untuk keris membunuh mangsanya.

GAMBAR: ASTRO AWANI

Kini keris tidak digunakan sebagai senjata lagi, ia selalu hanya digunakan pada majlis kebesaran Melayu atau sebagai alat perhiasan sahaja. Namun begitu, tidak bermakna bahawa keris harus dipinggirkan.

SPONSORED

Mengekalkan tradisi dan seni warisan Melayu amatlah penting untuk generasi akan datang. Itulah yang sedang dilakukan oleh Wan Islahuddin Ali, seorang anak kelahiran Pahang yang menetap di Kampung Salong, Pekan, Pahang.

Wan Islahuddin Ali merupakan seorang ahli pembuatan keris tradisional Pahang. Beliau mula menjinakkan diri dalam bidang ini sejak tahun 2018 lagi. Namun siapa sangka, minat terhadap pembuatan keris ini mendapat permintaan hingga beliau menjadikan pembuatan keris sebagai perniagaan komersial.

GAMBAR: ASTRO AWANI

Menurut beliau, proses menyiapkan bergantung kepada jenis dan gred keris yang dihasilkan. Ada keris yang mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan, namun bagi keris jenis gred koleksi, ia memerlukan kerja lebih terperinci kadang mengambil masa sehingga tujuh bulan untuk siap.

Tambah beliau lagi, keris tradisional masih lagi mendapat permintaan tinggi dan memiliki peminatnya tersendiri. Untuk keris yang dihasilkan oleh beliau kebanyakkannya mendapat tempahan secara online di Facebook atau Instagram.

SPONSORED

Buat masa sekarang, segala kerja pembuatan keris tradisional Pahang ini masih dilakukan Wan Islahuddin seorang diri. Beliau berharap semangat menghasilkan pembuatan keris ini dapat diwarisi kepada generasi baru.

Bukan hanya dapat mengekalkan seni warisan, malah pembuatan keris ini secara tidak langsung boleh dijadikan sumber pendapatan.

Diharap, dengan kisah yang dikongsikan ini mampu membuka mata generasi muda untuk menjadi pelapis kepada seni pembuatan keris tradisional Pahang disamping terus mengekalkan warisan budaya Melayu yang penuh unik ini.

via: Astro Awani

Related Posts