Kadangkala, ada lokasi yang tidak diketahui ramai biarpun sudah lama menetap di kawasan itu. Contoh yang boleh diberi ialah Hutan Lipur Beserah.
Lokasi ini mungkin dikenali penduduk sekitar Beserah tetapi tidak bagi kesemua orang Kuantan. Ada spot untuk berkelah, kolam mandi berbentuk petak dan dikelilingi hijaunya hutan. Memang persekitaran yang sesuai untuk seisi keluarga.
Namun, dikatakan Hutan Lipur Beserah ini kurang pengunjung walaupun hutan ini cantik dan indah. Perkara tersebut mendapat perhatian ramai dan mula berkongsi pendapat masing-masing mengapa jadi sedemikian.



Ada yang menyatakan lokasi ini hujung minggu baru nampak pengunjung. Mandi-manda selepas hujan memang seronok. Tetapi dah tak kelihatan indah seperti dahulu, sudah mula kotor katanya.
Pendapat lain mengatakan tidak berani untuk hadir ke situ kerana terdapat sampah merata-rata. Risau munculnya kera serta kemungkinan diserang kencing tikus. Elok juga lokasi ini tidak diketahui ramai, nanti makin teruk dikotorkan.


Selain itu, ada berpendapat hutan ini sesuai untuk penduduk berdekatan tetapi tidak berbaloi untuk melakukan perjalanan dari jauh. Orang berdekatan boleh menikmati masa mereka di sini tetapi ia bukan tempat pelancongan utama.
Segelintir juga memberitahu Hutan Lipur Beserah ini agak ‘keras’ kawasannya. Kena berhati-hatilah bila datang ke sini.