fbpx
PicsArt_1359978816344

Kisah Orang Kaya Haji Lipis Yang Melawan British Hingga Titisan Darah Terakhir

Memegang nisan bisu yang terpahat nama Orang Kaya Haji Lipis sudah cukup membuatkan semangat perjuangan untuk membangun kembali ketamadunan bangsa ini melonjak.

Dalam masa yang sama aku sebenarnya cukup sayu apabila melihat salah satu bukti kegilaan British kepada hasil bumi yang cukup banyak di tanah keramat ini.

PREMIUM

Haloba British terhadap hasil bumi Negeri Pahang khususnya di Kuala Lipis sudah tidak dapat dibendung lagi. Beberapa kali cubaan wakil British untuk berunding dengan Sultan telah menemui jalan buntu.

GAMBAR: CIKGU ASMADI SAMAD

Ketegasan Sultan pada waktu itu menyebabkan British terpaksa berputih mata meskipun menawarkan imbalan wang yang lumayan kepada sultan dan pembesar-pembesar negeri pada waktu itu.

Namun British yang cukup licik dan keji tipu muslihatnya berjaya menekan Sultan yang pada ketika itu tidak mempunyai pilihan lain ekoran pembunuhan seorang lelaki berbangsa cina bernama Go Hui yang merupakan seorang warga British di Pekan Pahang (Dipercayai pembunuhan Goh Hui ini adalah perancangan licik British untuk menguasai negeri Pahang).

SPONSORED

British dengan halobanya memilih sebuah lokasi di kawasan pertemuan sungai Lipis dan Sungai Jelai yang letaknya di bawah pemerintahan salah seorang Orang besar Berempat Pahang iaitu Datok Seri Maharaja Setia Raja atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan dengan gelaran Orang Kaya Haji.

GAMBAR: CIKGU ASMADI SAMAD

Penentangan oleh Orang Kaya Haji Lipis menyebabkan British sekali lagi mendesak Sultan menenangkan pembesarnya itu. Akur dengan taat setia Sultan, Orang Kaya Haji Lipis telah bersetuju untuk berpindah ke Kampung Budu.

Dalam pada itu, British tetap merancang untuk menamatkan riwayat Orang Kaya Haji Lipis kerana menganggap penolakan beliau terhadap tawaran British merupakan suatu penghinaan.

Sewaktu Orang Kaya Haji menghimpunkan orang-orang kampung untuk membantunya berpindah, British telah mendakwa Orang Kaya Haji Lipis menghimpunkan orang untuk memerangi British. Ratusan askar upahan British berbangsa Punjab mengepung kediaman Orang Kaya Haji Lipis. Orang Kaya Haji diminta untuk menyerah diri kepada British untuk dihukum.

GAMBAR: CIKGU ASMADI SAMAD
SPONSORED

Enggan tunduk kepada British Orang Kaya Haji dikatakan mengamuk seperti orang gila dan membunuh puluhan askar Punjab upahan British yang berusaha untuk menangkapnya.
Orang Kaya Haji akhirnya mati setelah terkena 3 das tembakan askar British. Jasad beliau dikebumikan di sebelah kubur guru beliau di Tanjung Rambai, Kuala Lipis.

Kematiannya telah menyebabkan British berjaya menempatkan pusat pentadbiran negerinya di tanah milik Orang Kaya Haji Lipis sekaligus membolot semua hasil bumi di Negeri Pahang khususnya di Kuala Lipis ini.

Namun kematian Orang Kaya Haji Lipis bukanlah satu kematian yang sia-sia. Kematiannya telah membangkitkan kemarahan pembesar-pembesar Pahang yang Lain. Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau semakin bertegas dengan British dan akhirnya melakukan penentangan bersenjata terhadap British.

Al Fatihah dan salam aku ucapkan sebelum aku meninggalkan pusara perwira yang cukup sepi ini. Dibiarkan semak, terbiar dan terlindung di balik pohon-pohon hutan yang naik tinggi menggapai awan.

SPONSORED

Sesepi dan terbiarnya perjuangan mereka pada alaf ini. Perjuangan mereka tidak pernah di arak dengan sorakan anak bangsa. Hanya termuat dalam beberapa helaian buku sejarah yang seringkali terlepas pandang.

Aku juga terfikir, andai mereka masih ada, mungkinkah erti merdeka mereka dan kita itu serupa…

NOTA EDITOR: Artikel ini ditulis oleh Cikgu Asmadi Samad. Beliau merupakan seorang guru dan penulis buku bertajuk Satu Bumi. Boleh ikut perkembangan beliau di Facebook.

Anda juga mungkin berminat untuk membaca berkenaan makan Kerajaan Islam Acheh yang ditemui di Chenor

Baca juga: Makam Berukiran Kerajaan Islam Acheh Ditemukan Di Chenor Dipercayai Seorang Puteri

Related Posts