Telah diceritakan oleh orang-orang tua yang telah tiada mengenai suatu kisah keperwiraan seorang pendekar dari bumi Pahang yang terjadi ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalil.
Telah sampai perintah dari Sultan yang bersemayam di Pekan itu ke Lipis meminta untuk dihantar seorang pendekar ke negeri Kedah atas tawaran dari Sultannya untuk mengalahkan sekumpulan lanun yang bermaharajalela di lautan.
Lanun tersebut diketuai oleh seseorang yang digelar Panglima Hujan Panas. Diceritakan gelaran tersebut diberi kerana apabila tampil Panglima ini menyerang, memang akan turun hujan renyai walaupun hari panas terik ketika itu.

Setelah bermesyuarat Orang-Orang Besar di Lipis, maka dipilihlah seorang pendekar dipanggil Mat Guai untuk diutuskan ke Kedah bagi melaksanakan misi tersebut. Setelah selesai segala persiapan, maka Mat Guai berjalan ke Kelang dan kemudiannya menumpang sebuah kapal dagang yang kebetulan ingin ke Kedah.
Melalui perbualan anak-anak kapal yang ditumpangnya, dapatlah Mat Guai mengagak bahawa musuh yang dicari memang selalu melanun di laut Kedah. Setelah berhari-hari berlayar ketika hampir ke laut Kedah, kelihatan sebuah bajak yang dipenuhi sekumpulan lanun berkayuh menggunakan lembing mata lebar merapati kapal.


Anak kapal dagang itu dan nakhodanya memilih untuk berputih mata namun Mat Guai apabila disoal memilih lebih rela untuk berputih tulang. Mendengar jawapan yang diberikan, kepala lanun akhirnya menyedari siapakah Mat Guai lalu mula mengarahkan lanun-lanun untuk menyerang.
Dengan berbekalkan sedikit kelebihan yang dikurniakan Allah kepada Mat Guai, terbunuhlah Panglima Hujan Panas. Sebagai bukti kejayaan misi tersebut untuk diserahkan kepada istana Kedah, Mat Guai telah memotong bibir atas mayat Panglima Hujan Panas yang bermisaikan dawai.