Mee Calong merupakan sejenis hidangan mee yang dimakan bersama sup ikan, bebola ikan dan tauhu. Jika dilihat kepada bahan-bahan yang digunakan, sepertinya resepi ini berasal dari kaum Cina.
Perkara tersebut meleset sama sekali. Bercerita mengenai Mee Calong ini ada fakta yang perlu diketengahkan. Antaranya, resepi ini diasaskan oleh orang Beserah dan popularitinya bermula di Beserah, Kuantan.
Ia dimulakan oleh seorang peniaga bernama Cik Kadir. Keluarga Cik Kadir ini sebenarnya berasal dari Terengganu. Ayah beliau namanya Hasan dan adik beradik Cik Kadir yang lain digelar Haji Awang, Teh Esah dan Su Mek.
Cik Kadir mencari rezeki sebagai seorang peniaga. Aktiviti perniagaan beliau telah membina perhubungan dengan para peniaga Cina. Dari pergaulan tersebut, maka timbulnya satu resepi berasaskan mee dan sup. Makanan yang dihasilkan kemudiannya diberi nama ‘Calong’.


Penyediaan dikala itu ada perbezaan terutama dari bahan asasnya. Asalnya calong terdiri dari mi, butir ikan, tauhu dan sup ikan. Mee yang digunakan hanyalah mee colok. Butir ikan pula dihasilkan daripada isi ikan tenggiri manakala sup resepi ini menggunakan stok ikan parang.
Kedai syarikat di Kampung Pantai menjadi tapak niaga Cik Kadir yang pertama. Lokasi di pusat perikanan memudahkan beliau mendapatkan ikan-ikan terpilih dengan mudah. Perniagaan beliau seterusnya berpindah berdekatan pasar basah Beserah dan buat kali terakhir beliau berpindah ke Kg Baru.


Penduduk di Kampung Pantai mula menikmati keenakan Calong ini. Biarpun berpindah tempat, pasaran terbuka serta populasi yang padat di Seberang Che Let masih berjaya menarik pelanggan. Tidak hairanlah golongan lama di Beserah begitu mengenali Calong Cik Kadir walaupun berbeza kampung.
Perniagaan Calong ini bagaimanapun tidak diteruskan oleh ahli keluarga beliau. Populariti yang terbina diteruskan pula oleh peniaga-peniaga lain. Mereka masih menggunakan nama Calong seperti yang dimulakan oleh Cik Kadir.