Pada hari ini dalam tahun 2010, perasmian Jambatan Kuala Krau, Mukim Jenderak, Temerloh, Pahang disempurnakan oleh DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.
Jambatan tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 60,000 penduduk di sekitar Daerah Temerloh, Jerantut dan Maran.
Jambatan sepanjang 490 meter tersebut telah memendekkan masa perjalanan orang ramai.
Perjalanan mereka yang ingin ke Temerloh, Jerantut dan Rumpun Makmur – Gunung Senyum, Jengka hanya memerlukan kira-kira 20 minit berbanding sejam sebelum ini.



Pada majlis tersebut, Sultan Pahang turut berkenan melepaskan burung merpati sebagai simbolik majlis perasmian jambatan ini.
Segala aktiviti kemasyarakatan penduduk di kedua-dua belah sungai dapat disatukan melalui perasmian jambatan tersebut.
Malah, ia menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi di wilayah Pahang.