Kewujudan Felda Lurah Bilut sangat istimewa terutamanya bagi generasi pertama masyarakat tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Di sinilah bermulanya sejarah bagi rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian yang pertama di Malaysia dan juga di dunia.
Lurah Bilut merupakan sebuah kawasan penempatan FELDA yang terletak di Bentong, Pahang dan bersempadan dengan daerah Raub. Asalnya, kawasan ini adalah sebuah lembah di Banjaran Titiwangsa bersempadankan Sungai Bilut dan Hutan Simpan Klau.
FELDA Lurah Bilut berbeza daripada FELDA lain kerana ia memang bermula daripada sebuah kawasan hutan sepenuhnya yang kemudian diteroka oleh peneroka sehinggalah menjadi sebuah tanah rancangan seperti hari ini.


Mari kita lihat sejarah rancangan pembangunan ini. Pada 16 Ogos 1957, FELDA mengemukakan cadangan pembangunan di Lurah Bilut secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Pahang sebelum diluluskan pada 1 April 1958.
Kemudiannya, penghijrahan seramai 616 peserta terawal di kawasan itu dilakukan secara berperingkat. Penghijrahan ini bukan hanya melibatkan kaum Melayu seramai 400 orang, tetapi ia juga melibatkan kaum Cina seramai 169 orang serta kaum India seramai 47 orang.


Untuk proses penempatan, penduduk akan dibahagikan mengikut asal dari mana penduduk itu datang. Sebagai contoh, jika penduduk itu berasal dari Pulau Pinang mereka akan dikumpulkan di Jalan Pulau Pinang.
Kegiatan pertanian utama yang diusahakan adalah penanaman getah dan kelapa sawit. Sekolah rendah di FELDA Lurah Bilut pula adalah Sekolah Wawasan yang pertama dan telah menjadi model dalam pembentukan sekolah wawasan di seluruh Malaysia.