fbpx
featured image sizing

Kenangan Anak Chenor Di Tebing Yang Dibina Sebelum Perang Dunia Ke-2

Sebahagian bangunan rumah kedai kayu di pekan Chenor dibina sebelum Perang Dunia-2;manakala sebahagian lagi ada dibina dalam tahun 1970-an. Hal ini menunjukkan adanya perkembangan serta pertambahan penduduk (perubahan demografi) serta dayabeli (ekonomi) penduduk Chenor.

Zaman kecil saya pekan Chenor yang juga dipanggil oleh orang Chenor sebagai ‘Tebing’ memang tempat tumpuan ramai pada setiap hari apatah lagi di hari Khamis,hari Pekansari.

PREMIUM

Semua kedai dibuka dan ada peniaga. Ada kedai kainbaju dan barangan harian Gemuk,ada kedai basikal Cikgu Ho,ada kedai ikan sayur Soh Yin,ada kedai baiki motor,kedai runcit Awang Juling,ada kedai mamak,ada kedai makan Wan Jemah dan beberapa kedai lain termasuk kedai beli getah arwah Tok Empat Hassan.

GAMBAR: AHMAD NIZAM HAMID

Tentunya saya sering ikut Abah ‘menemaninya’ mengeteh di Chenor bersembang dengan kawan-kawannya sambil hirup teh yang dikongsi berdua dengan saya-Abah minum dari gelas manakala saya dapat habuan dari gelas atau cawan teh Abah yang dituang di piring teh. Saya masih ingat makan roti canai atau rojak yang waktu itu, suatu nikmat yang tidak terkata bagi budak-budak.

Saya masih ingat jika ‘tapau’ atau bungkus roti canai,kuah roti canai tidak diletak dalam plastik seperti hari ini tetapi diletakkan dalam tin atau kami di Chenor panggil ‘pot’ susu pekat cap Dutch Lady yang diberi tali kelilingnya untuk tempat pegang.

SPONSORED

Saya masih dapat mengingati berdiri di platform motor skuter Vespa Abah sambil memegang tali mengikat pot berisi kuah roti canai dengan sangat berhati-hati serta memegang dengan kejap,bimbang tumpah kuah roti canai!

GAMBAR: HIKMAH

Bila saya sudah besar,disekolah rendah,sudah ada basikal sendiri sering juga mengayuh basikal ke Tebing dengan kawan-kawan seperti Juss Lee WC, Omar HJ Budin, Atan Rosli Ahmad Jeh Saklimah Yeh Peteh dan beberapa kawan lain.

Dan menjadi pencapaian yang hebat jika sekiranya pulang dari Tebing berjaya mengayuh mendaki bukit Bukit Bota yang waktu itu sangat curam dan tinggi dan tidak seperti hari ini hingga ke puncak tanpa perlu menolak atau menuntun basikal.

Saya kira barangkali ditahun 1980-an Pekan Chenor atau Tebing semakin hilang ke meriahannya.Banyak kedai-kedai ditutup dan barangkali jumlah pengunjung/pelanggan juga makin berkurang.

SPONSORED

Salah satu puncanya pada hemat saya ialah apabila sistem pengankutan makin baik dan kemampuan penduduk memiliki kereta,orang memilih ‘melepak’ dan mengeteh di Temerloh,lebih kurang 30 minit perjalanan ketimbang di Tebing.

Begitu juga tuntutan ekonomi,ramai anak Chenor samada masuk FELDA mahupun yang berhijrah ke luar sehingga sejauh Singapura mencari rezeki. Perlahan-lahan Tebing menjadi malap dan suram.

Hari ini hanya beberapa kedai sahaja yang masih dibuka. Saya difahamkan selepas banjir besar dihujung tahun 2014 yang melarat ke awal tahun 2015 lalu membuatkan ada pekedai yang berhenti berniaga-tentunya faktor usia peniaga juga salah satu puncanya.

Pun begitu saya kira perlu diletakkan dalam rekod ada anak Chenor yang kembali ke kampung setelah puluhan tahun merantau sangat menyumbang serta gigih mahu mengembalikan keceriaan dan keberadaan Pekan Chenor, kekanda saya Tengku Hasan perlu diberikan kredits dengan secara konsisten menganjurkan beberapa program,mengumpulkan anak-anak muda belajar bergendang dan memugar seni-budaya Chenor. Kepada beliau saya tabik.

SPONSORED

NOTA EDITOR: Artikel ini ditulis oleh Ahmad Nizam Hamid. Boleh ikut perkembangan beliau di Facebook.

Anda juga mungkin berminat untuk membaca berkenaan makan Kerajaan Islam Acheh yang ditemui di Chenor

Related Posts