s1

Kayanya Sungai Lembing Dahulu Hingga Digelar ‘El-Dorado Of Asia’

Lombong bijih bawah tanah di Sungai Lembing telah dibuka oleh lelaki Cina, Lim Ah Sam pada tahun 1868. Sungai Lembing pada masa dahulu adalah bandar terkaya dengan dalam pengeluaran bijih timah di Negeri Pahang Darul Makmur.

Malah, ada yang menyifatkan Sungai Lembing lebih dikenali berbanding Kuantan manakala popularitinya sama seperti Singapura ketika itu. Ini adalah kerana Sungai Lembing merupakan kawasan galian bijih timah yang kedua terbesar di dunia selepas Bolivia.

Ia juga mempunyai kolong-kolong yang terpanjang dan terdalam sehingga 1,400 ke 2,000 kaki sehingga dikatakan terdalam jika dibandingkan dengan lombong-lombong bijih timah lain di Asia Tenggara.

Kewujudan Sungai Lembing berkait rapat dengan sejarah moden Negeri Pahang yang bermula dengan penjajahan British di Malaya. Kawasan Sungai Lembing diterokai oleh pihak British dalam bulan Februari pada tahun 1888 sebaik sahaja Almarhum Sultan Ahmad Muadzam Shah 1 bersetuju dengan cadangan sebuah syarikat Bijih di London untuk menubuhkan Pahang Corporation Limited di kawasan tersebut.

Kawasan seluas 2,500 ekar persegi itu dipajakkan bagi tempoh seratus tahun dengan bayaran satu sen setahun.

SPONSORED

Sungai Lembing merupakan Bandar yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat Bijih British iaitu Pahang Corporation Limited di Pahang. Kemudian pada tahun 1915 ia bertukar kepada Syarikat Pahang Consilolidated Company Limited (PCCL) dan pada tahun 1984 ditukarkan kepada panggilan Pahang Investment Public Limited Company (PIPLC).

Dalam tempoh seratus tahun lombong ini telah mengeluarkan lebih kurang 13 juta tan metrik bijih timah kasar yang boleh menghasilkan 150,000 tan metrik Konsentrat timah dengan nilai sebanyak hampir $2,000 juta. Aktiviti perlombongan ini telah memberi sumbangan yang besar kepada penduduk di kawasan Sungai Lembing khususnya dan kepada ekonomi amnya.

Sungai Lembing merupakan pusat komersial yang begitu maju sehingga panggung wayang pertama di Asia dan hospital pertama di negeri Pahang juga dibina di sana.

Di zaman kegemilangannya pada pertengahan era 1900, pelombong di Sungai Lembing boleh membawa pulang hasil sehingga RM3,000 sebulan. Susulan itu, ramai dalam kalangan rakyat tempatan berhijrah ke Sungai Lembing untuk mencari rezeki demi kehidupan lebih selesa di sana.

SPONSORED

Kekayaan daripada hasil perut bumi Sungai Lembing melimpah ruah sehingga bandar ini digelar “El Dorado of Asia.” Namun, zaman kegemilangan bandar yang satu ketika dahulu menjadi buah mulut orang ramai pula berubah menjadi sebaliknya.

Bila harga bijih jatuh, PCCL tanggung banyak kerugian dan terpaksa menghentikan operasinya. Orang British balik ke England manakala aktiviti ekonomi di Sungai Lembing yang dahulunya berkembang maju, mula merosot.

Ramai pekerja lombong terpaksa menganggur dan berpindah ke kawasan lain demi kelangsungan hidup. Ketika lombong masih beroperasi, ada lebih kurang 10,000 penduduk di Sungai Lembing dan sebahagian besarnya bekerja di lombong.

Apabila lombong ditutup, ramai yang hilang pekerjaan dan terpaksa mengikat perut sebelum mendapat kerja baru. “Hidup pada masa itu memang susah hinggakan ada keluarga yang terpaksa berbuka puasa dengan air kosong dan buah jambu batu,” ujar bekas pekerja lombong, Hussin Gapor, 77.

SPONSORED

Mengikut legenda tempatan, sewaktu kegawatan ekonomi itu, 20 pelombong yang terdesak telah melombong secara haram di salah sebuah lombong yang dikenali sebagai Tai Pei Tong. Dengan hanya berbekalkan seluar pendek dan topi keselamatan, mereka berjaya mengorek bijih timah setiap malam dengan nilai lebih RM3,000 sehari sehingga mencecah RM1 juta.

Kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa, namun identiti pelombong tersebut dan timah bernilai RM1 juta itu kekal misteri sehingga ke hari ini. Pencari rezeki beransur-ansur meninggalkan Sungai Lembing yang kian sepi. Tiada lagi bunyi hentakan tukul besi menghentam batu membongkah bijih timah.

Lombong dan bangunan yang tinggal pula hampir musnah dimamah usia. Pelbagai barangan berharga menjadi mangsa penjarah; besi landasan dan gerabak kereta api juga tidak terkecuali.

Panggung wayang dan pusat komersial terbiar tidak dihuni diambil alih orang tempatan dengan membuka gerai makanan. Keadaan pekan lubuk rezeki yang semakin suram itu memaksa penghijrahan anak muda ke bandar-bandar lain.

Sumber:Portal Negeri Pahang

Total
0
Shares