Kami pernah muat naik artikel tentang sejarah bangunan lama berusia 6 dekad di Jalan Besar, Kuantan yang dihidupkan kembali.
Anda boleh baca artikel mengenainya di sini.
Mercu Tanda Jalan Besar Dahulu Yang Kini Dihidupkan Kembali
Di bangunan ini terdapatnya satu kafe yang dinamakan Ms Elliot. Ms Elliot kemungkinan adalah Kafe terbesar di Kuantan dengan keluasan hampir 4500 kaki persegi.
Nama Ms. Elliot diberikan kerana beliau merupakan rakan kongsi kepada perniagaan masakan makanan barat keluarga Lim Hoe Lek iaitu pemilik bangunan kafe Ms Elliot ini sejak dulu lagi.
Ms Elliot mempunyai citarasa yang baik dan itu membuatkan beliau sangat teruja untuk menikmati masakan setempat setiap kali ke Kuantan.

Beliau menggemari daging salai yang di adun khas bersama bahan asas Spaghetti Carbonara yang sangat popular semasa tahun 1970-an di United Kingdom.
Inilah sebab mengapa kafe ini menggunakan nama Ms Elliot demi menyegarkan kembali nostalgia silam keluarga pemilik tanah ini.
Kafe ini telah direka oleh pereka dalaman tempatan, Evelyn Jingjie Wong yang merupakan arkitek senior di Pines Architecture. Pines Architecture merupakan firma senibina yang berpangkal di China. Evelyn juga merupakan lulusan Ijazah dan Sarjana Senibina dari Illinois Institute of Technology.
Evelyn diberikan tugas untuk memastikan memori ruang 60 tahun yang lepas direka dan dibina semula untuk memberikan ruang baru yang lebih segar.

Tujuannya untuk menjadikan kafe ini sebagai alternatif untuk ruang bersosial dengan ditemani getaran yang positif dan bauan kopi.
Chef Ady Ismail, merupakan anak lokal Pahang akan menjadi ketua chef di kafe ini. Sebelum menjadi chef, beliau pernah bercita-cita untuk menjadi seorang angkasawan.
Namun, minat yang mendalam dalam bidang makanan telah membawa beliau untuk menghabiskan pendidikan beliau dalam bidang Seni Kulinari yang khusus kepada kulinari makanan barat.
Apa tidaknya, sejak berumur 7 tahun beliau sudah mula membantu keluarganya dalam perniagaan makanan dan kek.

Walaupun beliau seorang yang mahir dalam masakan barat, tetapi beliau juga mampu menyediakan menu makanan Melayu yang sedap lagi menyelerakan.
Kami sempat singgah ke Kafe Ms Elliot ini sewaktu hari pembukaannya. Dari luar, ia mungkin kelihatan seperti it’s just another café yang ada di sepanjang jalan besar ini.
Tetapi, sebaik sahaja kaki melangkah masuk, kami sangat teruja dengan rekaan dalamannya. Ia seakan kami sedang masuk ke dalam sebuah restoran dalam filem Kungfu lama dari China. Besar dan megah!

Ruang menunggu, ruang persendirian dan ruang makan beramai dibahagi dengan sewajarnya mengikut fungsi tertentu.
Hiasan akhir kaunter restoran ditata dengan susunan batu marmar zaman dahulu. Ia memberikan kesan positif dan suasana yang indah buat setiap pengunjung yang hadir.

Di bahagian belakang pula, tersedia deretan meja yang disusun rapat pula memberi ruang buat pengunjung yang hadir beramai untuk menjamu selera sambil merapatkan hubungan dengan keluarga atau kenalan terdekat.
Bukan itu sahaja, tingkat mezanin pula menempatkan ruang diskusi yang boleh memuatkan hampir 6-8 orang yang sangat sesuai digunakan untuk urusan berkaitan perniagaan. Ia menjanjikan ruang persendirian yang penuh dengan privasi.




Oh ya! mungkin anda pelik kenapa kami tidak bercakap mengenai makanan bukan? sebenarnya sewaktu pembukaan, ramai kenalan dan pengunjung yang hadir dan membantutkan niat kami untuk menempah kerana tidak mahu menunggu terlalu lama. Ya, kami faham kerana ia adalah hari pertama mereka.
Mungkin jika ada kesempatan, kami akan bercakap pula tentang menu dan harga di kafe ini nanti.