Tok Linggi berasal daripada Kampung Bukit Meninjau, Sumatera Barat Indonesia telah berhijrah ke Kampung Relong sewaktu pemerintahan Bendahara Tun Ali pada tahun 1872.
Beliau datang ke tanah air bersama lima orang adik-beradiknya yang lain dan singgah di Negeri Sembilan terlebih dahulu. Setibanya di sana, mereka berpecah dengan masing-masing merantau ke negeri berlainan.
Tinggal bersama-sama Tok Linggi hanyalah adiknya dan mereka meneruskan perjalanan bersama lagi 80 orang pengikut, berjalan kaki ke negeri Inderapura sehinggalah tiba di Semantan, Temerloh.
Mereka meneruskan lagi perjalanan ke hulu sungai Pahang dan juga sungai Jelai, dibantu oleh seorang pedagang setelah meninggalkan adiknya di Semantan.

Setibanya Tok Linggi ke sebuah tebing sungai yang berpasir landai, terlihat cantik pada pandangannya, tambahan pula kehadiran ikan sia, menyerikan lagi kawasan tersebut. Tok Linggi lantas menamakan kawasan tersebut sebagai Pasir Sia.
Perjalanan diteruskan dan rombongan tersebut berehat di sebuah kawasan lapang. Di situ, Tok Linggi memberi nama kawasan tersebut sebagai Padang Tunggu oleh kerana beliau menunggu rombongan kedua tiba di kawasan yang luas, seakan sebuah padang.
Pemberian nama kepada tempat-tempat tertentu menjadi salah satu faktor kepada wujudnya Kampung Relong. Beliau meninggal dunia di Kuala Relong dan dikebumikan bersebelahan sungai Teris, antara Kuala Taha dan Kuala Relong.