Istana Melayu dahulunya menjadi sebuah tempat di mana segala bentuk hikayat, epik, puisi dan kesusasteraan klasik dikarang. Para ilmuwan dan jurutulis ketika itu akan mendokumentasi dan meriwayatkan tentang pelbagai perkara.
Antara dicatatkan ialah perihal kehidupan, adat istiadat, hiburan, susur galur keturunan (genealogy), hal ehwal politik istana, ilmu perubatan dalam menyembuhkan penyakit, serta pelbagai lagi cara hidup masyarakat.


Untuk pengetahuan anda, hikayat-hikayat dan catatan lama ini dicatatkan dalam tulisan Jawi. Kemudiannya ia akan disalin semula beberapa kali oleh jurutulis istana dan menjadi rujukan penting pada waktu itu.
Karya agung sastera Melayu yang pernah dihasilkan adalah Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat al-Nafis, Bustanus Salatin dan Hikayat Pahang. Nukilan puisi syair yang dihasilkan pula adalah seperti Syair Selindang Delima dan Syair Siti Zubaidah.


Alatan perak dan tembaga dihasilkan seperti sudu, tepak sirih, bekas perenjis air mawar, tempat bara merupakan perkakas yang sering digunakan dalam adat istiadat perkahwinan selain dijadikan hiasan serta untuk kegunaan harian.
Selain itu, terdapat juga beberapa koleksi seramik. Kebanyakannya adalah persembahan para pedagang daripada luar negara seperti China, India, Jepun, British dan pelbagai lagi.