Pada 24 Jun 1968, Pangkalan tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) Kuantan telah di rasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang ketika itu, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Al-Mu’tasim Billah Al-Sultan Abdullah.
Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Tengku Mahkota Pahang, Jeneral Tengku Osman, Ketua Turus Tentera Udara, Encik Sulaiman Sujak, Pegawai-pegawai Tentera, Ketua Turus Tentera dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Pahang.
TUDM Kuantan merupakan Pengkalan Jet TUDM yang pertama didirikan di negara ini dan ia juga yang terbesar di Pantai Timur.
Pangkalan ini terletak 9 batu dari bandar Kuantan dan dilengkapkan dengan jet-jet laju iaitu Jet Tabuan dan helikopter dari jenis Sikorsky. Sebanyak 10 buah Jet Tabuan dan 3 buah helikopter jenis Sikorsky dipamerkan semasa majlis perasmian berlangsung.

Pangkalan ini dilengkapi dengan jet-jet Tabuan dan helikopter-helikopter daripada jenis Sikorsky. Terdiri daripada No 3 Skn dan No 9 Skn yang menerbangkan pesawat CL-41G (Canada) atau lebih dikenali dengan nama Tebuan yang bermaksud Hornet. Manakala No 10 Skn menggunakan pesawat buatan Amerika Syarikat, Sikorsky S-61A-4 yang terkenal dengan nama panggilan helikopter NURI.
Pada awal tahun 80-an, No 4 Skn yang telah beroperasi di Pangkalan ini menggunakan pesawat PC 130 Hercules. Ia menjalankan tugas-tugas Maritim di seluruh perairan Malaysia dan juga Zon Bebas Perdagangan.
Pada tahun 1985, Pesawat buatan Amerika Syarikat iaitu pesawat A4 SkyHawk telah digunakan untuk membuat tugas serangan ke darat bagi menggantikan pesawat Tebuan CL-41G. Pada tahun 1994, pesawat A4 SkyHawk telah digantikan pula dengan Pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 buatan Britain dan ditempatkan di No 6 Skn.

Dalam tahun 1995, TUDM telah menerima pula pesawat buatan Rusia iaitu MiG-29N yang dikendalikan oleh dua buah skuadron penerbangan iaitu No 17 Skn dan No 19 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Kuantan.
Kuantan dipilih sebagai pusat pangkalan jet tentera udara kerana kedudukannya yang strategik dan terletak di tengah-tengah Malaysia. Keistimewaan ini memberi faedah pertahanan yang berkesan ketika membuat tindakan semasa berlaku darurat dan ketika membuat rondaan dari udara untuk menjaga keamanan negara.
Pembukaan pengkalan tentera udara di Kuantan ini juga merupakan sebagai langkah dan persiapan kerajaan untuk mengambil alih teraju kepimpinan dan perkhidmatan Tentera Udara daripada Kerajaan British.

Perkhidmatan Tentera Udara British tamat pada tahun 1971. Namun, kerajaan tetap menerima bantuan baik dari segi moral dan material dari negara-negara luar yang telah maju seperti Kanada, Amerika Syarikat, New Zealand dan British dalam bidang perkhidmatan tentera udara.
Pelatih-pelatih luar negara akan dibawa masuk dan anak tempatan juga akan dihantar keluar negera bagi mengikuti latihan dan kursus penerbangan. Ini boleh meningkatkan kemahiran tentera tempatan menguasai taktik-taktik tentera udara dari segala aspek.

Pada hari pembukaan tersebut, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak juga mengumumkan bahawa sebuah kawasan di Kuantan akan diperuntukan untuk dijadikan kawasan latihan tentera udara dan padang latihan menembak dari udara juga akan dibina.