Kulat sisir atau dikenali sebagai cendawan kukur, biasanya dapat dinikmati hanya selepas hujan.
Ia akan tumbuh meliar pada batang pokok getah tumbang atau pokok mati. Kulat sisir juga mempunyai khasiat dan perubatan yang tinggi.
Kulat ini merupakan bahan utama dalam sebuah hidangan tradisional negeri Pahang iaitu sambal kulat sisir.


Hidangan ini bagaimanapun semakin dilupakan kerana harga pasaran kulat sisir masa kini yang agak mahal.
Namun, ia tidak seharusnya dijadikan punca untuk melupakan hidangan tradisi ini.
Jom kita lihat bahan diperlukan serta cara membuatnya.
Bahan-bahan
– 3 genggam kulat sisir- direndam
– 4 ulas bawang merah
– 1 ulas bawang putih
– 1 inci kunyit
– 7-12 biji cili padi (ikut suka kepedasan masing-masing)
– 1 batang serai – dititik
– 1 sudu minyak masak – untuk menumis
– Sedikit garam gula dan perasa
Cara penyediaan
1. Kulat yg telah direndam dalam 10-15 menit perlu ditumbuk. Namun, jangan terlalu lumat. Tujuan direndam adalah untuk memastikan tiada benda asing seperti kulit kayu.
2. Bawang merah, bawang putih, kunyit, cili padi tumbuk hingga lumat.
3. Panaskan minyak untuk menumis dan masukkan bahan yg tunmbuk dan serai yg telah dititik.Tumis hingga naik bau atau pecah minyak.
4. Kemudian masukkan kulat sisir yg telah ditumbuk dan sedikit air untuk memasakkan kulat tu.
5. Masukkan garam, gula dan sedikit perasa. Gaul sehingga kulat masak dan pekat.
Memang enak dimakan bersama nasi putih. Selamat mencuba.