Dekat Kuantan mana lagi tempat nak bersantai untuk minum petang? Mari kami cadangkan sebuah lokasi yang telah kami datang dan cuba sendiri. Brew & Cabin menjadi destinasi pilihan kami baru-baru ini bersantai sesama staf, jauh dari cuaca petang yang agak panas.
Tempat ini terletak di Lorong IM 15/19, Bandar Indera Mahkota, nun jauh dari kesibukan bandar. Lokasi dia agak tersorok tapi jangan risau mudah sahaja dicari menggunakan aplikasi Google Maps.
Pandangan pertama ketika berada di ruang makan, kelihatan lighting dalaman yang suam, suasananya juga relaks dan tidak sibuk. Peminat figura pastinya suka melihat beberapa patung yang dipamerkan di antara perhiasan. Bukan satu dua tapi lebih ya!



Ruang makan Brew & Cabin terbahagi kepada bahagian dalam, luar dan tingkat atas. Menurut staf mereka, ruang makan di tingkat atas biasanya dibuka ketika hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Namun, jika terdapat permintaan selain hari yang disebutkan boleh sahaja disediakan ruang tersebut kepada anda.
Untuk pengetahuan anda, Brew & Cabin ini menyajikan kopi serta hidangan Barat sebagai tarikan utama mereka. Ada Frappe, Smoothies, Croissants, Pasta, Burger dan macam-macam lagi. Terpinga-pinga juga kami dibuatnya memilih nak mencuba menu apa.

Kami akhirnya memilih untuk mencuba beberapa menu yang dicadangkan. Menu pertama di dalam senarai ialah Biscoff Freakshake Burst. Dengar nama pun dah gempak, begitulah penampilannya bila tiba di meja kami.
Rugi betul buat mereka yang tidak tahu minuman ini wujud. Satu menu ni boleh kongsi ramai-ramai kerana ada pelbagai konfeksi seperti biskut, aiskrim, kon aiskrim dan taburan bijirin. Bila sedut sahaja, rasa betul biskut Lotus Biscoff dalam susu kocak ini. Memang puas hati!

Seterusnya, kami cuba salah satu hidangan di antara pasta iaitu Fettucine Spiezonara. Spiezonara ini lebih kurang sama sahaja dengan Carbonara cumanya ia jenis yang pedas. Kenalah dengan tekak Melayu kita yang kena ada rasa pedas-pedas sikit. Kuahnya juga tidak muak, berbaloi untuk dicuba.

Mengakhiri sesi kami pada petang tersebut ialah menu Ciabatta Sandwich. Ciabtta Sandwich yang turut dihidangkan bersama salad boleh dipilih intinya. Terdapat tuna mayo, mayo telur dan ham ayam. Inti ham ayam menjadi pilihan untuk sandwich kami.
Keseluruhan rasa pada sandwich ini amat baik. Namun, kami terpaksa membawa pulang sebahagian kerana saiznya yang besar dan sudah kekenyangan. Kalau datang ke Brew & Cabin lagi, dapatlah kami mencuba pula inti lain sandwich mega ini.
Lokasi: A-37, Lorong IM 15/19, Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan, Pahang
Hubungi: 09-509 6804