fbpx
- Sponsor -

Bintang Muda Kelahiran Pahang Cipta Sejarah Pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021

Rata-rata peminat bola sepak tanahair pasti mengenali bintang muda pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi. Pada usia 19 tahun, beliau menjadi antara watak penting yang membantu JDT menjulang trofi Liga Super buat kali kelapan, Piala Sumbangsih dan naib juara Piala Malaysia.

Selain mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik, Arif Aiman melengkapkan musim gemilangnya apabila melakar sejarah menjadi pemain paling muda dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP).

Kejayaan dicipta pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) itu sekaligus telah memadam rekod rakan sepasukannya, Safawi Rasid yang memenangi anugerah sama pada tahun 2018 di usia 21 tahun.

Sumber: Utusan.com.my
Sumber: Bharian.com.my
- Sponsor-

Walaupun bermain bersama skuad Harimau Selatan, tidak ramai yang tahu bahawa beliau adalah anak kelahiran Pahang! Arif Aiman menyertai Farizal Marlias serta Wan Zack Haikal sebagai warga Pahang yang bermain di luar negeri.

Mari kita lihat serba sedikit biodata pemain lincah ini. Nama penuh beliau ialah Arif Aiman Mohd Hanapi dan dilahirkan pada 4 Mei 2002. Bakat anak muda ini dicungkil sewaktu penyertaan dalam program MyKids 2011/12.

Sumber: Illuminasi.com
Sumber: Football-tribe.com

Beliau kemudiannya menganggotai skuad yang menjulang kemenangan pada IberCup Costa Del Sol 2015. Pada hujung 2018, Arif Aiman berhijrah ke Akademi Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi tujuan pengembangan karier dan mendapat lebih banyak peluang bermain.

Terbukti haluan yang dipilih adalah tepat kerana beliau kini menjadi tonggak utama pasukan JDT. Terbaharu, Arif Aiman antara pemain yang mewakili negara untuk AFF Suzuki Cup 2021. Semoga lebih ramai bintang kelahiran Pahang mewarnai dunia bola sepak negara selepas ini.

- Sponsor -

Ikuti kami di Telegram dan Instagram @kuantanloka untuk dapatkan informasi terkini lebih cepat!