fbpx
- Sponsor -

Benarkah Ini Asal Usul Nama Kampung Gudang Rasau, Kuantan?

Nama Kampung Gudang Rasau pastinya sudah biasa didengari oleh warga Kuantan. Kampung yang terletak di Batu 5, Kuantan ini adalah kawasan kampung kecil yang mempunyai sejarah gemilang ketika zaman 1920-an dahulu.

Kami cuba mencari beberapa sumber rujukan untuk mengkaji asal usul nama Kampung Gudang Rasau ini.

Cerita Pertama

- Sponsor-

Menurut sumber yang diterbitkan oleh Muzium Pahang, pada zaman dahulu, terdapat sebuah lubuk yang jaraknya lebih kurang ½ batu dari jambatan yang merentang Sungai Belat, di jalan Kuantan-Pekan.

Sebelum jalanraya Kuantan – Gambang dibina, lubuk itu dijadikan pengkalan bagi tongkang-tongkang dan jalak-jalak (perahu layer bertiang satu atau dua) yang membawa barang-barang bagi kegunaan pelombong-pelombong bijih timah di kawasan hulu Sungai Belat.

Di tebing lubuk, didirikan beberapa buah bangunan untuk menyimpan barang-barang yang dibawa dari Kuala Sungai Kuantan, melalui Sungai Belat.  

Peta Pahang 1923

Barang-barang yang dibawa dari hulu Sungai Belat juga turut disimpan di situ.

Bangunan tempat menyimpan barang-barang itu dipanggil Gudang. Oleh kerana terdapat banyak rasau, tumbuh di sana, makan tempat itu dipanggil Gudang Rasau.

Rasau adalah sejenis tumbuhan yang berbunga harum dan mempunyai bentuk seakan-akan pokok pandan.

- Sponsor -

Pokok tegak ini boleh tumbuh sehingga 6-meter tinggi, yang kebiasaannya hidup di dalam air dengan bahagian bawah batang dan akarnya tenggelam.

Pokok rasau ini banyak tumbuh di Tasik Bera dan Tasik Chini di mana ia mampu membentuk belukar yang tinggi dan tebal di sepanjang pinggir kawasan perairan tersebut.

Pokok Rasau

Berbalik kepada gudang tadi, Gudang-gudang yang telah dibangunkan menjadi port kepada penduduk ketika itu untuk operasi melombong bijih timah.

Tapi ia mula ditinggalkan oleh penduduk apabila Jalan Kuantan-Gambang siap.

Pada waktu tersebut pula, perkhidmatan Feri di Tanah Putih mula dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 5.9.1910.

Akhirnya Gudang Rasau ditinggalkan kerana tiada lagi aktiviti ekonomi yang dapat dilakukan disitu.

Sehinggalah semasa projek pembinaan jalan Kuantan-Gambang pada awal kurun ke 20 kerajaan telah menggunakan pengkalan Gudang Rasau sebagai tempat memunggah barang-barang keperluan ke tepi jalan yang sedang dibina itu.

Aktiviti Perlombongan Di Pahang sekitar tahun 1890-an
- Sponsor -

Kerajaan juga telah membina sebatang jalan dari pengkalan di Gudang Rasau ke jalan Kuantan-Gambang.

Jalan itu dibaiki dan diturap dengan tar untuk kegunaan penduduk-penduduk Gudang rasau keluar ke jalan Kuantan-Pekan.

Sumber sejarah juga menyatakan terdapat 4 buah sabak (dapur) yang diperbuat dari simen yang dipercayai digunakan oleh orang terdahulu untuk memasak candu di sekitar sini dahulu.

Pada masa ini ada beberapa buah rumah kampung terdapat di sana. Salah sebuah rumah itu letaknya berhampiran dengan sabak simen yang dinyatakan di atas.

Selain dari orang-orang yang tinggal di Gudang Rasau dan kawasan sekitarnya tidak ramai lagi orang yang mengetahui bahawa Gudang rasau itu adalah sebuah tempat yang begitu terkenal pada pertengahan kurun ke 19 hingga ke awal kurun ke 20.

Cerita Kedua

Menurut Dr Aminudin Abdul Karim di dalam blog beliau, nama kampung Gudang Rasau ini difahamkan berasal dari nama seorang lelaki yang membina gudang kayu di sini suatu masa dahulu. Lelaki tersebut diberikan nama sebagai Encik Rasau.

Oleh kerana, Encik Rasau mempunyai gudang yang mungkin tidak dimiliki oleh orang setempat pada ketika itu makan hebohlah penduduk setempat dengan memberi panggilan gudang tersebut sebagai Gudang Rasau.

Begitulah dua kisah asal usul nama Gudang Rasau kami perolehi.

Namun hari ini, kampung ini lebih dikenali sebagai kampung Mat Kilau sempena kemunculan semula pahlawan Mat Kilau di sini selepas beliau keluar dari persembunyiannya pasca perjuangan menentang British pada 29 Disember 1969.

Dewan orang ramai dikampung ini juga dinamai Dewan Mat Kilau. Sekolah yang ada di sini juga dinamakan sebagai nama Sekolah Mat Kilau.  

Gudang Rasau Kini

Di sekitar Kampung Gudang Rasau sekarang, banyak institusi pengajian tinggi telah didirikan seperti Kolej Universiti Islam Pahang, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, dan Kolej Politeknik Mara.

Ini merupakan peluang perkerjaan bagi penduduk setempat. Jadi banyak perniagaan yang boleh diusahakan bagi keperluan para pelajar yang tinggal di sini.

Namun, dengan segala kemajuan yang dirancang, Kampung Gudang Rasau masih dibelenggu dengan masalah banjir hampir setiap tahun.

Setiap kali musim hujan tiba dan air pasang di Sungai Belat, penduduk Kampung Gudang Rasau lah antara penduduk yang akan menjadi mangsa kepada bencana banjir.

- Sponsor -

Ikuti kami di Telegram dan Instagram @kuantanloka untuk dapatkan informasi terkini lebih cepat!