fbpx

Beginilah Cara Pemprosesan Ikan Bilis Yang Popular Di Beserah Ketika Era 70an


Kini zaman kegemilanganya sudah berakhir.

Ikan Bilis Beserah, cukup signifikan pada suatu masa dahulu kerana ianya sangat terkenal dan menjadi pilihan utama kepada masyarakat sekitar Kuantan Pahang ketika itu.


Seingat saya, harga Ikan Bilis Beserah waktu itu hanya sekitar RM3 sekilo dan Anak Ikan Tambang serta Anak Ikan Kembung sebesar jari kelingking dalam RM2 sahaja 1kg.


Kini, Zaman kegemilangan Nelayan Pukat Cerut atau Jeruk Beserah yang terkenal dengan pendaratan Ikan Bilis sejak berpuluh tahun dahulu sudah tinggal kenangan.

Tahukan anda semua bagaimana Ikan Bilis ditangkap dan diproses sebelum hasil laut ini dipasarkan?

Suatu masa dahulu sebelum era 70an, Beserah pada asalnya memang sudah terkenal dengan hasil tangkapan lautnya. Namun zaman kegemilangannya bermula sekitar tahun 70an ke 90an dimana pada ketika itu terdapat banyak Bot Pukat Jeruk yang beroperasi di pesisir Pantai Beserah.

Untuk pengetahuan semua, rata-rat Bot Pukat Cerut atau Jeruk ini berlabuh di tengah laut berhadapan dengan rumah saya sahaja.

Gambar: Chan Chew Studio

Antara kawasan yang menjadi tumpuan Nelayan Beserah menangkap ikan bilis adalah sekitar kawasan Pantai Beserah, Batu Hitam, Pelabuhan Kuantan sehinggalah ke Sungai Ular.

Kadang-kandang mereka juga akan menghala ke area pelindung, Teluk Cempedak dan juga Kempadang.

Yang menariknya tentang Nelayan Beserah ni, mereka menggunakan cara manual dan tradisional dalam menjejak kawanan ikan bilis.

Dimana mereka boleh mengesan terdapatnya bilis di sesuatu kawasan dengan melihat kawanan burung camar yang sedang menyambar ikan dipermukaan air.


Apabila kelihatan kawanan burung ini bermain dipermukaan air dalam keadaan menyambar, pasti yang disambar itu adalah ikan bilis. Bot Pukat Cerut ini akan segera menuju ke lokasi kawanan burung tersebut.

Gambar: Koh Lip

Sesudah sampai saja di kawasan kawanan burung itu maka pukat mula dijatuhkan ke dalam laut dan dilekong (Kepungan atau pusingan membentuk bulatan besar).

Apabila kawanan bilis tersebut terperangkap di tengah-tengah kepungan pukat, maka pukat pun mula ditarik naik.

Kebiasaannya Ikan Bilis yang ditangkap akan segera dihantar ke bangsal atau tempat pemprosesan untuk diproses dengan menggunakan bot fiber bagi mengelakkan daripada ikan bilis tersebut buruk dan merosakan kualitinya.


Sesudah sampai di hadapan pangkalan, Ikan Bilis ini akan diangkut menggunakan perkhidmatan kereta kerbau dari pantai ke bangsal pemprosesan. Cara yang agak unik dan klasik serta tidak akan ditemui di tempat lain, tambahan pula ia menjimatkan kos.

Sesudah sampai ke bangsal pemprosesan, Ikan bilis ini akan dibasuh dan dibilas dengan air tawar sebelum direbus sekitar lebih kurang 5 minit.

Gambar: Koh Lip
Gambar: Romadan Hamzah

Selepas direbus Ikan Bilis tersebut akan diangkat dan disejat airnya. Apabila kering air, kemudian Ikan Bilis akan dijemur pula di atas pemidang buluh di bawah cahaya matahari.

Untuk makluman, 100kg Ikan Bilis basah akan menghasilkan 35kg hingga 45kg Ikan Bilis Kering. Namun bagaimanapun ia bergantung kepada jenisnya.


Pada lewat 90an aktiviti tangkapan Ikan Bilis di Beserah mulai mengalami kemerosotan di mana sehari ianya hanya mampu ditangkap sekitar 300kg dan kebawah.

Berbeza pada tahun 1980an dimana tangkapan boleh mencecah hampir 500 ke 1000kg sehari.

Punca kemerosotannya mungkin akibat daripada penangkapan ikan yang tidak membataskan sempadan sekaligus menyebabkab ekosistem laut menjadi tidak seimbang dan tidak terkawal.

Menjelang tahun 2000 segalanya mula berubah dimana aktiviti Pukat Cerut Jerut Beserah mula dilupakan kerana pengusaha kapal tidak mampu lagi untuk menanggung kos operasi yang tinggi. Memandangkan hasil tangkapannya yang tidak seberapa.

Nota editor: Catatan ini dipetik daripada penulisan Adieyra Almyerdieyana yang diterbitkan semula untuk tujuan bacaan pembaca di Kuantanloka. Anda boleh mengikuti perkembangan beliau di Facebook untuk lebih banyak cerita menarik.

Baca juga: Lebih Enak Daripada Musang King, Durian Beserah Telah Didaftar Sebagai Harta Intelek Sejak 1981

Langganan Percuma

Langgan saluran kuantanloka™ di Telegram untuk dapatkan informasi dan berita terkini terus ke telefon pintar anda.

Terkini:

Baca Juga:

Utama
Akaun
Notifikasi
Koin