Kebanyakan tempat makan begitu mudah dicari jika teringin menu berasaskan ayam. Berbeza dengan kambing, tak semua kedai makan menyediakan menu daging ini.
Pelbagai menu boleh diadaptasi dari daging kambing seperti kari, sup, nasi briyani termasuklah nasi goreng!
Dalam artikel ini, kami bakal kongsikan 8 tempat makan sekitar bandaraya Kuantan khusus buat penggemar menu berasaskan kambing. Rasa terliur masa membaca, bolehlah pergi terjah tempat-tempat disebutkan.


1. Kambing Bakar Guangzhou
Terletak di Tanjung Lumpur, nama lokasi ini sudah terang menunjukkan hidangan utama yang disediakan. Kelazatan kambing bakar diperap ramuan istimewa datang daripada resipi yang dibawa khas dari Guangzhou, China.
Biarpun menampilkan menu ringkas kambing bakar tanpa tulang, sajian tersebut tetap dapat dinikmati dengan rasa tulen.


2. The Gok By Gwaniz
Sebuah lagi lokasi yang turut menyediakan kambing bakar. Dulu namanya Gwaniz Corner – Kambing Bakar, sekarang dikenali sebagai The GOK by Gwaniz -Kambing Bakar & Western.
Antara menu kambing yang menarik disediakan ialah Nasi Kambing Bakar, Kambing Marohhh dan Nasi Goreng Kambing Bakar.

3. Terminal Satay Zul
Terminal Satay Zul sejak 1974, satu nama yang begitu gah di bandaraya Kuantan. Dari berniaga dikaki lima kedai kini pemiliknya sudah memiliki hampir 10 cawangan restoran & kilang memproses sataynya sendiri.
Jika anda teringinkan variasi sate termasuk sate kambing, singgah saja di restoran ini. Padankan dengan kuah kacang pula, memang sedap!

4. Sate Peramu
Rata-rata memuji kesedapan sate ini di samping harga yang berpatutan. Walaupun tidak segah kedai-kedai sate yang terkenal, Sate Peramu masih mampu menarik pelanggan.


5. Makey Palace
Tak ramai yang tahu tempat ini kerana tempatnya agak tersembunyi. Suasana di sini amat santai. Hidangan lazatnya memang menaikkan selera.
Merupakan yang pertama dalam senarai ini menyajikan nasi briyani bersama lauk kambing. Makey Palace beroperasi setiap Isnin hingga Ahad dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

6. Dallah Restaurant
Salah satu tempat makan di Kuantan yang wajib anda serbu jika ingin menikmati makanan Arab yang enak dan asli.
Antara menu terlaris di sini ialah nasi Arab. Lauk ayam dan kambing merupakan antara yang wajib dicuba. Saiz hidangannya juga besar, pasti anda kenyanglah!

7. Ustaz Kopi
Sebuah kedai kopi artisan yang menawarkan dua perkhidmatan pada satu masa. Boleh isi perut dulu ketika menunggu kereta selesai dicuci di Ustaz Carwash. Betul-betul sebelah kedai kopi ini.
Penggemar menu kambing tentu teruja dengan Nasi Arab Kambing di sini. Sos yang digunakan untuk menyaluti daging amat menyelerakan. Gabung pula dengan nasi memang mantap rasanya.


8. Shah Tulang Merah
Jika anda seorang peminat kambing, makanan ini anda pasti suka. Sajian popular dari Singapura ini merupakan yang pertama seumpamanya di Kuantan.
Tak kuat pedas? Jangan risau, itu bayangan daripada gambar sahaja. Rasa sup tulang merah ini pekat, berempah, sedikit pedas, manis pun ada. Sup tulang merah ini ternyata memiliki rasa unik yang sendiri.