fbpx

7 Kafe Terbaik Di Kuantan Untuk Peminat Kopi Artisan Sejati


Di Kuantan, terdapat banyak kedai kopi yang menghidangkan pelbagai jenis kopi. Dari kopi kampung hinggalah rasa kopi yang premium. Bagi penggemar kopi pula, anda tidak perlu risau, di Kuantan ini memang ada berlambak kedai kopi yang sedap.

Namun begitu, sekiranya anda peminat kopi artisan sejati, ini antara 7 senarai kafe yang menghidangkan kopi artisan terbaik di Kuantan.


Secara peribadi, nombor 3 dan 4 adalah kafe pilihan yang menepati citarasa kami. Bagaimana dengan anda?

Instagram @pullashot

1. Pull-A-Shot Specialty Coffee

Memulakan senarai seharusnya dengan pilihan yang terbaik. Memulakan operasi seawal tahun 2015, Pull-A-Shot menyediakan kopi yang menggunakan biji kopi istimewa berasal daripada Brazil dan Guatemala.

Seduhan espressonya menghasilkan letusan rasa yang kompleks dan pelbagai. Dengan kadar asiditi yang lembut, setiap hirupan memberikan nota rasa coklat dengan keharuman bunga dan buah beri.

Tidak banyak kedai kopi yang sanggup menghidangkan biji kopi super premium dengan harganya yang mencecah sekitar RM35-RM40 untuk setiap 200 gram! Hanya di Pull-A-Shot, anda boleh menimatinya sebagai house blend unik mereka yang dipanggang segar di bahagian atas kedainya dengan kadar medium roast.


Untuk peminat pour-over coffee atau kopi tuang, nikmati seduhan V60 dengan pelbagai pilihan biji kopi ‘single-origin’ yang juga dipanggang segar selain daripada pilihan cold-brew yang ada.

instagram @coffeegallerymalaysia

2. Coffee Gallery

Merupakan antara kedai kopi terawal dalam coffee scene di Kuantan, Coffee Gallery memulakan operasinya sejak tahun 2013.

Diasaskan oleh barista yang aktif dalam penganjuran Malaysian Barista Championship sebagai pengadil pertandingan, café ini menawarkan pelbagai pilihan kopi yang enak dengan biji kopi Brazil, Papua New Guinea dan India.


Kopi yang dipanggang sederhana ini menghasilkan seduhan dengan kadar asiditi yang lembut dan mempunyai nota rasa coklat, kekacang dan kemanisan karamel.

Setiap hirupan mengembalikan aroma kedai kopitiam, dan sememangnya nota rasanya adalah sangat popular di kalangan penggemar kopi.

Baristanya yang dilatih dengan kemahiran tinggi berjaya menghasilkan kualiti ‘crema’ dan buih yang lembut serta halus sekiranya anda menikmati seduhan cappucino atau latte.

Pastinya dengan kualiti sebegini menghasilkan latte art yang instaworthy! Kafe ini juga menawarkan pilihan seduhan V60, Kalita atau Chemex dengan beberapa pilihan biji kopi ‘single origin’. Anda patut mencubanya!


3. Brew & Cabin

Pengalaman mengopi di kafe Brew & Café sememangnya mengujakan seawal melangkah dengan suasana kedai yang santai dan kemas, yang diakui oleh kebanyakan maklumbalas pelanggannya.

Kafe ini menawarkan kopi dengan rasa yang kompleks. Jalinan rasa coklat bersusu bersama nota citrus dan kekacang pastinya enak untuk dinikmati dan setiap hirupan memberikan keharuman floral yang sukar untuk dilupakan.

Adunan house blend nya daripada Brazil, Columbia dan Guatemala dipanggang sederhana, direka khusus mengikut citarasa pemiliknya sendiri. Setiap seduhan menjanjikan biji kopi yang dipanggang segar setiap masa.


Bagi yang kurang menggemari rasa kopi yang kompleks, kafe ini juga menyediakan campuran biji kopi mocha yang pastinya digemari ramai kerana rasanya yang lebih ‘kaw’ sebagai pilihan alternatif di sini. Jangan lupa mencuba pelbagai jenis kopi berperisa di sini terutamanya Biscoff Latte yang semakin popular.

Instagram @rasasayangktn

4. Rasa Sayang

Terletak sebaris dengan Coffee Gallery, kafe ini menawarkan konsep retro dengan pencahayaan putih yang unik dan menawan. Sememangnya kami rasa seolah-olah kembali ke zaman silam sejurus melangkah ke dalam kedai, menepati namanya yang romantis.

Dengan biji kopi ‘arabica’ sepenuhnya dari Brazil dan Sumatra Gayo, helaian maklumat menunjukkan biji kopi ini dapat menghasilkan nota rasa kelapa, caramel dan coklat cair.

Setiap hirupan mendatangkan nota rasa caramel dan coklat yang agak ketara, namun kami belum mampu mengesan nota rasa kelapa seperti yang dikatakan. Secawan espressonya memang tidak mengecewakan, apatah lagi dihirup dalam suasana yang tenang dan damai.

Status halal: Pemilik dan pekerja Muslim sepenuhnya dan menggunakan bahan-bahan yang halal.

Instagram @javaflavacafe

5. Java Flava Cafe

Tidak seperti kafe lain yang menggunakan campuran biji kopi dari beberapa negara, kafe ini menggunakan biji kopi single origin dari Columbia dalam menghasilkan menu-menu kopi utamanya. Mereka menggunakan biji kopi JWC Caramel Popcorn yang agak terkenal dikalangan penggemar kopi.

Daripada helaian maklumat yang dipaparkan, biji kopi ini dapat menghasilkan perisa gula-gula seperti toffee, caramel, popcorn, coklat dan kranberi.

Namun, dari hirupan rasa kami cuma mampu mengesan nota rasa kacang ‘toffee’, kranberi dan ‘caramel’ selain nota rasa coklatnya. Mungkin perlu dinikmati beberapa kali untuk melatih deria rasa supaya lebih sensitif dengan nota rasa yang lain.

Yang pasti rasa kopinya memang cukup unik dan kompleks, dan yang lebih penting, rasa espressonya pasti buat kita teringat-ingat! Kafe ini juga menawarkan resepi tersendiri Marie-Rose Latte yang memberikan pengalaman rasa kopi yang unik dengan sedikit rasa ros yang harum!

6. The 92s Kuantan

Langkah kami ke kafe ini terhenti apabila melihat mesin kopi mewah yang tersergam daripada model La Marzocco Leva X, yang kalau tidak silap harganya boleh mencecah seperti harga kereta Honda City atau Civic!

Ini satu-satunya kedai yang menggunakan mesin daripada jenis “lever” di Kuantan buat masa ini.

Menawarkan biji kopi dari pemanggang kopi tempatan di Kuantan, kopi yang dihasilkan disertai dengan kemanisan beri dan keharuman bunga-bungaan selain rasa coklat sebagai rasa utama, juga dengan kadar asiditi yang lembut.

Jika anda memesan Latte, kafe ini menggunakan sukatan yang berbeza dengan saiz anggaran sekitar 9-10 oz berbanding kafe lain yang menggunakan cawan sekitar 7-8 oz, menyebabkan rasa kopi agak tenggelam dalam cawan latte.

Untuk rasa yang lebih sepadan, kami lebih suka memesan Cappucinno dengan cawan lebih kecil yang sama seperti kafe lain untuk rasa kopi yang lebih jelas.

Instagram @tjantekcafe.co

7. Kafe Seni Tjantek

Barisan kafe kopi “specialty” ini semestinya tidak lengkap tanpa Kafe Seni Tjantek. Kafe yang cukup terkenal di Kuantan dengan seni hiasan dalaman yang artistik, sesuai dengan pemiliknya yang berkepakaran dalam seni bina.

Kafe ini menghidangkan kopi daripada biji kopi yang berasal dari Brazil dan India. Kami dapat mengesan rasa caramel dan coklat dalam setiap hirupan kopi kami, sememangnya menyenangkan dan digemari ramai.

Kafe ini sememangnya menjadi pilihan kami, cuma kadang-kadang kualiti latte yang dihidangkan perlu ditingkatkan disebabkan foam yang agak kasar mungkin kerana kemahiran barista yang berbeza-beza.

Namun jika kena tangannya, pasti anda dapat menikmati latte dengan hasil foam yang halus cair di mulut selain suasana romantis artistik dicelah-celah deretan kedai lama di lokasi terawal bandar Kuantan. Seperti The 92s Kuantan, kafe ini juga menggunakan cawan size sekitar 9-10 oz untuk hidangan lattenya.

Langganan Percuma

Langgan saluran kuantanloka™ di Telegram untuk dapatkan informasi dan berita terkini terus ke telefon pintar anda.

Terkini:

Baca Juga:

Utama
Akaun
Notifikasi
Koin