Tahukah Anda Pahang Pernah Memiliki Mata Wang Sendiri Dipanggil 'Tampang'



Tahukah anda, pada tahun 1889, mata wang ‘tampang' telah diisytiharkan oleh Pentadbiran Inggeris sebagai sah diperlakukan di negeri Pahang.

Tampang ialah istilah yang digunakan bagi mata wang yang diperbuat daripada timah yang digunakan pada zaman dahulu di negeri Pahang.

Dipercayai mata wang tampang ini juga digunakan di negeri-negeri lain misalnya di negeri Melaka.

Orang-orang kampung dihantar untuk mendulang dan kemudian timah tersebut dileburkan dengan dimasukkan ke dalam acuan untuk dijadikan ketulan kecil seberat 1 kati 8 tahil atau 1 kati 4 tahil untuk dijadikan mata wang tampang.



Menurut catitan sejarah China di awal kurun ke 15, mata wang diperbuat dari timah ini ada digunakan di negeri Melaka. Ianya dalam bentuk blok-blok kecil timah yang beratnya antara 900 gram atau 750 gram atau 10 blok kecil itu diikat dengan rotan dan dijadikan satu bundal kecil. Manakala 40 blok dijadikan bundal besar.

Penggunaan blok-blok timah ini sebagai mata wang di negeri Melaka telah dihentikan apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511.

Penggunaan mata wang tampang di negeri Pahang juga pernah dicatitkan oleh Munshi Abdullah dalam bukunya ‘Pelayaran Abdullah Munsyi”. Beliau menyatakan bahawa mata wang tampang itu ada digunakan di negeri Pahang dalam tahun 1837.

Dalam pada itu, pentadbiran Inggeris di negeri Pahang juga pernah mengisytiharkan bahawa mata wang tampang ini sah diperlakukan dalam tahun 1889.

Di Pahang misalnya tampang terawal dinilai bersamaan dengan 6 ¼ sen dolar Sepanyol. Satu jenis tampang yang dibaharui, dikeluarkan dalam tahun 1846 yang mempunyai nilai 4 sen.

Tampang-tampang rasmi telah dicetak oleh pihak negeri dan disebarkan untuk kegunaan terutamanya di kawasan lombong biji timah di sekitar Kuantan. Tampang satu sen telah ditambah dalam tahun 1847.



Kajian numismatik mata wang tampang yang dijumpai di Pahang menunjukkan mata wang ini dilengkapi dengan perkataan ‘sarafi Pahang sanat 1264' yang bermaksud telah dicetak di Pahang bertarikh 1264.

Mata wang tampang telah digunakan sehingga tahun 1889 dan tetap menjadi mata wang yang sah sehingga dibatalkan penggunaannya oleh Negeri-negeri Selat. Akhirnya mata wang tampang ini tidak lagi sah diperlakukan di negeri Pahang mulai dari tahun 1893.

via: Kerajaan Negeri Pahang

Jangan lupa sertai kami di Telegram @kuantanloka untuk dapat lebih banyak info-info percutian terkini di Kuantan dan Pahang.
Previous Post Next Post
Sponsored