Lelaki Ini Kongsi Bagaimana Bermulanya Idea Cipta Surau Bergerak Yang Pertama Di Kuantan

Datuk  Halidan Md Daud

Pada tahun 2015 sekiranya anda masih ingat, di mana kemunculan surau bergerak (Mobil Mosolla) di sekitar kawasan-kawasan tumpuan orang ramai di Kuantan mula mendapat perhatian. Buat pengetahuan anda, perkhidmatan surau bergerak ini bukan sahaja yang pertama di Kuantan, malah adalah yang pertama di Malaysia sebelum diikuti negeri-negeri lain.

Surau Bergerak atau juga dipanggil Mobil Musolla ini adalah hasil kerja dan cetusan idea oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Nadwah Islamiyah Pahang.

Bagi kami di KUANTANLOKA, perkhidmatan surau bergerak ini merupakan satu usaha bagus dan amat menginpirasikan. Ia membuatkan kami begitu tertarik untuk tahu lebih banyak tentangnya.

Kebetulan pada beberapa hari lepas, kami berpeluang bertemu dengan salah seorang pengasas Nadwah Islamiyah Pahang, Datuk Haji Halidan Md Daud. Tak nak lepaskan peluang, maka kami ambil kesempatan ini untuk tahu sebanyak mungkin kisah-kisah menarik disebalik tercetusnya idea menghasilkan surau bergerak yang pertama di Malaysia ini.



Sebelum kami lanjutkan cerita tentang Mobil Musolla, ada baiknya kami kongsikan dahulu sedikit sebanyak info mengenai NGO Nadwah Islamiyah Pahang.

Nadwah Islamiyah Pahang merupakan badan NGO berdaftar sejak tahun 1997 lagi. Selain surau bergerak, badan Nadwah turut menyediakan Pusat Hemodialisis Islam Makmur (PHIM) yang menyediakan kemudahan rawatan dialisis kepada pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan, penempatan anak-anak yatim Permata Camar dan Qudwah, pusat pembimbingan komuniti.



Mobil Musolla, Surau Bergerak Pertama Yang Beroperasi Di Kuantan Dan Malaysia

Bagaimana terlahirnya idea mencipta surau bergerak ini? Ini adalah antara persoalan pertama yang mahu sangat kami tanya sebenarnya. Pada pandangan kami, idea mewujudkan surau bergerak ini sangat menarik dan kini perkhidmatan ini sudah pun wujud di Kuantan!

Menurut Datuk Halidan, idea untuk mewujudkan surau bergerak (Mobil Musolla) bermula pada tahun 2014. Ketika itu, Nadwah merancang untuk menambah lagi perkhidmatan yang mampu menyumbang kepada masyarakat khasnya kepada mereka yang beragama Islam.

Kenapa memilih surau bergerak, ilham ini timbul selepas beliau melihat di tempat tumpuan orang ramai terutama di pasar malam, orang Islam berhadapan masalah kesukaran mencari tempat solat sekiranya kawasan tersebut berjauhan dengan masjid atau surau.

Memandangkan kebiasannya waktu kemuncak di Pasar Malam adalah dari Asar hingga Maghrib. Maka sekiranya terdapat tempat solat yang selesa, pasti dapat memudahkan orang ramai untuk menunaikan solat. Baik kepada pengunjung ataupun peniaga.

Sejak dari itu, projek mencipta surau bergerak mula ke arah yang lebih serius. Segala gerak kerja, konsep dan pelan mula dijalankan.



Cabaran Untuk Mewujudkan Surau Bergerak (Mobil Musolla)

Idea mungkin boleh diberikan ramai orang, namun untuk memastikan ia menjadi realiti tidak semudah yang disangka. Begitu juga Nadwah, untuk memastikan surau bergerak ini bakal beroperasi dengan lancar dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik, segala rangka kerja dan pelan haruslah dibuat dengan teliti.

Ia termasuklah cabaran mendapatkan dana bagi menampung kos perbelanjaan. Membina surau bergerak seperti ini memerlukan kos mencecah ratusan ribu ringgit. Kos ini merangkumi keseluruhan perbelanjaan untuk mendapatkan lori, kerja pengubahsuaian dan membeli peralatan.



Mendapat Sokongan Dan Sumbangan

Berkenaan sumbangan dan dana, menurut Datuk Haji Halidan, sebaik sahaja idea mewujudkan surau bergerak ini dibentangkan kepada badan-badan korporat, ia mendapat respon yang sangat baik. Ramai yang bersetuju dan menyokong usaha ini.

Antara syarikat yang mendukung dan memberi sumbangan besar kepada Surau Bergerak Nadwah ialah Telaga Biru Sdn Bhd, Takaful Ikhlas Sdn Bhd, Tidak lupa juga kepada Imarah Auto Sdn Bhd untuk kerja pengubahsuaian lori dan Pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).



Mula Beroperasi Sepenuhnya

Surau Bergerak Nadwah pertama kali beroperasi sepenuhnya adalah pada 7 March 2015, bertempat di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang. Selain pasar malam, tempat keramaian seperti di acara perlawanan bola sepak di stadium juga antara sasaran operasi surau bergerak.

Dalam acara besar seperti perlawanan bola sepak ini, surau di stadium mungkin tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai. Jadi di sinilah peranan Surau Bergerak Nadwah diperlukan iaitu menyediakan tempat solat yang selesa kepada para pengunjung.

Pada hari pertama beroperasi di Stadium Darul Makmur, Surau Bergerak Nadwah mampu memuatkan seramai 150 orang jemaah dalam satu masa.



Bersifat mudah alih, Surau Bergerak Nadwah mampu menampung jemaah seramai 150 orang dan dilengkapi air untuk berwuduk, ruang solat berkarpet yang bersih dan selesa, kemudahan kain pelikat, ruang solat wanita serta telekung.

Kini Nadwah Islamiyah Pahang memiliki dua buah unit surau bergerak yang sedia berkhidmat di tempat-tempat keramaian dan pasar malam sekitar Kuantan. Selain itu, Surau Bergerak Nadwah turut telah berkhidmat di serata Malaysia pada acara-acara besar seperti larian marathon dan sebagainya.

Kami harap melalui perkongsian kali ini ia mampu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Moga-moga akan datang lebih banyak usaha dan idea baru sebegini wujud di Malaysia khasnya di negeri Pahang.

Oh ya,  buat anda yang ingin mengikuti perkembangan, membuat urusan atau memberi sumbangan kepada khidmat Surau Bergerak Nadwah bolehlah ikuti mereka di Facebook Khidmat Surau Bergerak Nadwah - Mobil Musolla atau hubungi 012 900 3117.
Previous Post Next Post
Sponsored