Tarian Labi-Labi Warisan Budaya Pahang, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentangnya



Pada beberapa hari lepas, Sinar Harian telah menerbitkan artikel berkenaan tarian labi-labi. Nampaknya, sejenis tarian tradisional dan warisan budaya negeri Pahang ini mula mendapat perhatian ramai.

Menurut seperti apa yang diterbitkan oleh Sinar Harian, tarian labi-labi ini merupakan salah satu identiti negeri Pahang yang mungkin tidak diketahui ramai.

Pada zaman dahulu, tarian labi-labi dikatakan berasal dari seni persilatan yang kemudiaannya diolah dalam bentuk tarian untuk tujuan persembahan.

Berdasarkan pemahaman kami, dalam seni bela diri Melayu atau silat sememangnya disulami dalam gerak tari atau dipanggil bunga. Tarian dalam persilatan Melayu ini sebenarnya adalah bentuk latihan namun disorok menjadi gerak dan tari. Maka tidak hairanlah jika tarian labi-labi ini asalnya dari seni bela diri persilatan Melayu di Pahang.

Tarian labi-labi adalah seni, sekiranya anda memahami seni tiada apa yang kelakar tentangnya.



Pada tahun 2014, Muzium Negeri Pahang pernah bercerita tentang sejarah tarian ini di dalam blognya yang bertulis:

Tarian Labi-labi dikatakan berasal dari Endau, Rompin dan kemudiannya berkembang ke daerah Pekan dan Kuantan.

Bahkan hingga ke hari ini, Tarian Labi-labi merupakan salah satu tarian etnik yang popular dikalangan kumpulan-kumpulan tarian di Negeri Pahang walaupun beberapa pergerakan telah diolah untuk disesuaikan dengan masa dan penonton.

Sejarah Tarian Labi-labi bermula daripada kisah seorang pengail bernama Pak Ngah. Pada satu hari, Pak Ngah pergi mengail disungai tetapi tidak mendapat seekor ikan pun walaupun umpannya habis.

Kemudian, Pak Ngah menggunakan pisang sebagai umpan dan telah menarik perhatian sekumpulan labi-labi. Pergerakan labi-labi yang cuba memakan umpan pisang ini telah memberi idea kepada Pak Ngah untuk membentuk kumpulan Tarian Labi-labi.

Berdasarkan tarian asal, terdapat hanya dua orang penari sahaja iaitu watak Pak Ngah dan labi-labi jantan. Namun, watak Mak Ngah dan beberapa ekor labi-labi telah ditambah sesuai dengan perubahan dan kreativiti koreografer.

Kostum dalam tarian ini berbentuk labi-labi yang dipasang di atas belakang penari. Watak Mak Ngah pula memakai baju kebaya lengan panjang dengan kain sarung atau batik manakala, Pak Ngah memakai terendak atau kain ikat kepala dan memegang sebatang kail.

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi Tarian Labi-labi pada awalnya hanya tetawak dan biola sahaja. Namun, sejajar dengan perkembangan semasa, alat muzik seperti genduk, gedombak, gendang dan serunai telah ditambah bagi memeriahkan lagi persembahan.
Previous Post Next Post
Sponsored