Ketahui Kenapa Kampung Melayu Yang Cantik Di Pahang Ini Digelar 'Janda Baik'



Terletak di daerah Bentong, Kampung Melayu Tradisional di Pahang ini cukup dikenali dengan panggilan Janda Baik. Keindahan alam semula jadi serta persekitaran yang menghijau dan bersih ini menjadi ia cukup terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan yang popular dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, asal usul namanya menjadi banyak tanda tanya terutama dikalangan masyarakat luar daerah ini. Kami sendiri juga pernah terfikir, bagaimana dan kenapa tempat cantik di Malaysia ini dipanggil Janda Baik dan bukan nama lain.

Keunikkan nama ini membawa kami untuk berkongsi cerita bagaimana kampung ini diberikan namanya.

Antara cerita yang popular berkisar sejarah asal usul nama kampung ini diberi kononnya dikatakan nama itu ada kaitan dengan sejarah pembukaan kampung terbabit. Ada yang mendakwa nama unik Janda Baik itu ekoran satu ketika dulu ramai wanita yang bergelar janda tinggal di situ, selepas suami mereka maut dalam perang saudara yang berlaku di Selangor.

Kebanyakan janda terbabit, bukan sahaja mempunyai potongan badan yang menarik dan wajah cantik tetapi peribadi mereka baik serta sanggup membantu orang lain yang dalam kesusahan.

Dalam versi lain yang diceritakan sendiri oleh Ketua Kampung Jandai Baik pula menceritakan, pada asalnya lokasi berkenaan adalah kawasan terpencil yang didiami Orang Asli.

Peneroka mula datang ke kawasan itu pada tahun 1930 untuk mencari kawasan baharu selepas berlaku banjir besar pada tahun 1926 yang menenggelamkan banyak kawasan semenanjung.

Hampir semua penduduk awal yang berpindah ke lokasi itu, berasal dari Bentong. Kampung yang terletak di kawasan tanah datar dipenuhi hutan dan dikelilingi gunung-ganang ini dibuka oleh tiga sahabat yang dikenali sebagai Haji Deris, Haji Kadir dan Haji Yasir.

Untuk mengenal pasti sama ada lokasi itu sesuai dijadikan perkampungan atau tidak, mereka berpakat membina pondok dan duduk hampir seminggu di sana. Bermula dari detik itulah kampung ini dibuka dan saudara-mara mereka di Bentong berpindah ke sini.

Sebagai menghargai usaha tiga sahabat yang meneroka kawasan hutan itu maka kampung berkenaan dikenali sebagai Kampung Tiga Haji. Menurutnya, jumlah penduduk di kampung Janda Baik terus bertambah dan Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam, berkenaan membuat kunjungan kali pertama ke Kampung Tiga Haji pada tahun 1932.

Baginda mencemar duli berbual dengan penduduk kampung, ada yang bercerita kawasan itu didiami Orang Asli dan bercucuk tanam seperti padi serta buah-buahan. Ada satu cerita mengisahkan berlaku pertengkaran antara Tok Batin Orang Asli kampung terbabit dengan isterinya, Siah hingga menyebabkan mereka berpisah.

Diceritakan lagi, tidak sampai sebulan berjauhan, Siah pulang semula ke rumah Batin Wok dan kepulangannya diterima dengan baik.

Sawah padi yang diusahakan sebelum berpisah semakin subur dan matang serta masak, menjadikan mereka semakin bahagia. Berdasarkan kisah itu, Orang Asli di sana menggelar tanah berkenaan sebagai Janda Balik merujuk kepada Siah yang balik semula ke pangkuan Batin Wok.

Baginda Sultan Abu Bakar yang tertarik dengan kisah yang disampaikan itu kemudian menukar nama kepada Janda Baik, sekali gus kekal sehingga kini.

Apa pun sejarah dan kisah Kampung Janda Baik, yang lebih penting bagi kami adalah agar pihak bertanggungjawab prihatin dan kekal menjadikan Janda Baik sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi di Malaysia.

Via: Astro Awani

Like dan Follow KUANTANLOKA™ di Facebook serta Instagram.
Previous Post Next Post
Sponsored