Sejarah Ringkas Tentang Kuantan Dan Kisah Pertelingkahan Dua Beradik



Kuantan dipercayai telah wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke-19 adalah bermula sebagai petempatan. Hal kewujudan Kuantan ini telah pun disentuh oleh Abdullah Abdul Kadir Munshi pada tahun 1851/2 seperti berikut:

Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada dan; maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari...."

Pada abad ke-19, pendatang dari Sumatera (Indonesia) dipercayai telah membuka penempatan di tebing Sungai Kuantan, khususnya di sekitar Teruntum yang terletak berdekatan Hospital Tengku Ampuan Afzan pada hari ini. Terdapat beberapa teori mengenai asal nama "Kuantan".

Ada yang mengatakan nama tersebut mempunyai kaitan dengan tempat asal pendatang dari Sumatera itu, yakni Kampung Kuantan. Terdapat juga satu tempat bernama Kuala Kuantan di negeri Selangor. Ada pula yang mengatakan nama bandar ada hubungan dengan bangsa China, kerana bunyinya yang sedemikian rupa.

Kisah Pertelingkahan Dua Beradik


Walau apa pun, suatu tempat bernama Kuantan telah wujud sebelum tercetusnya Perang Saudara Pahang pada tahun 1858, tatkala dua beradik, Wan Ahmad dan Wan Mutahir menentang satu sama lain untuk menguasai negeri tersebut setelah bapa mereka, Bendahara Ali, iaitu pemerintah Pahang, meninggal dunia.

Pertelingkahan bermula apabila Wan Mutahir, yang menggantikan Ali sebagai Bendahara, telah menidakkan wasiat Ali yang menyatakan Wan Ahmad akan memerintah dua daerah - Kuantan, dan juga Endau (pada masa itu sebuah daerah dalam negeri Pahang; pada hari ini ia di dalam negeri Johor).

Perang saudara itu tamat pada tahun 1863 (walaupun pertelingkahan dalaman antara para pembesar yang telah berpecah-belah berterusan dalam dekad-dekad berikutnya), dengan Wan Ahmad mencapai kejayaan dan menjadi Bendahara Pahang yang baru.

Beliau kemudiannya menaikkan taraf diri beliau sebagai Sultan Pahang, justeru mengasaskan susur-galur Sultan-sultan dan kerabat diraja yang sedang memayungi negeri. Pada waktu itu, cukai yang dikutip dari lembah Sungai Kuantan menjadi pendapatan utama pemerintah Pahang, justeru ia berkepentingan dari segi ekonomi negeri.



Kerajaan British mula mencerobohi pentadbiran negeri-negeri Melayu di sekitar permulaan Perang Saudara Pahang. Pada tahun 1888, British mengambil alih pentadbiran negeri Pahang. Kuantan mula diberikan perhatian sebagai pusat perdagangan, khususnya berkaitan aktiviti perlombongan bijih timah di pekan Sungai Lembing dan Gambang berdekatan. Pada masa itu, para peniaga berbangsa Cina mendominasi suasana perniagaan dan perdagangan di Kuantan.

Pada 30 Disember 1942, Kuantan telah jatuh ke tangan askar Jepun yang menyerang Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua. Pusat bandar lama iaitu di sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar masih menempatkan binaan-binaan era sebelum Perang Dunia Kedua, sementara kubu kecil yang dibina dalam menghadapi ancaman Jepun boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Kuantan.

Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang yang asalnya di Kuala Lipis sepanjang era residensi British telah dipindahkan ke Kuantan, dan kepentingan bandar ini dari segi pentadbiran semakin meningkat.

Setelah Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (Malaysia terbentuk sebagai satu persekutuan dalam tahun 1963), Kuantan terus berkembang sebagai pusat komersial dan perusahaan yang penting. Kerajaan negeri dan Persekutuan membangunkan Kuantan dengan memberikan tumpuan kepada sektor pentadbiran, industri, pertanian dan pelancongan.

Oleh sebab Kuantan merupakan sebuah bandar yang "muda" secara relatifnya, ia tidak memiliki banyak budaya tradisi tempatan yang unik, melainkan yang dibawa oleh mereka yang berasal dari luar dan menetap di Kuantan, khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan.

Oleh sebab itu, amat mudah untuk mendengar orang ramai di Kuantan bercakap dalam loghat Terengganu dan Kelantan, sementara makanan tradisional dan kegemaran dari kedua-dua negeri itu juga popular di sini. Jauh sedikit dari bandar Kuantan sendiri, iaitu ke arah barat dan selatan, barulah budaya tradisi Pahang dapat diperhatikan sedikit demi sedikit.

Like dan Follow KUANTANLOKA™ di Facebook serta Instagram.
Previous Post Next Post
Sponsored