Kisah Disebalik Misteri Terowong Sungai Lembing Yang Masih Belum Terjawab



Terowong Sungai Lembing yang pernah menjadi antara pengeluar bijih timah terkemuka di dunia selama 40 dekad menyimpan pelbagai kisah misteri.

Ia menjadi saksi bagi beberapa kejadian, termasuk yang mengorbankan pekerja perlombongan di terowong bijih timah terdalam di dunia itu menyebabkan lokasi itu dikatakan 'agak keras'.

Kami baru-baru ini berkunjung ke terowong berkenaan dan menemui bekas beberapa pekerja perlombongan yang menceritakan kisah misteri di kawasan berkenaan.

Seorang daripadanya, Mohamad Sharif Mohamad, 65, yang juga penduduk asal Sungai Lembing, yang terletak di pinggir bandar ibu negeri Pahang, Kuantan.

Mohamad Sharif yang bertugas sebagai pengendali lif di terowong berkenaan ketika ia masih beroperasi, berkata dua orang rakannya iaitu seorang berbangsa Inggeris pernah mengalami 'gangguan' ketika melakukan kerja perlombongan bersama seorang lagi rakannya.

"Ketika itu `Mat Salleh' (orang Inggeris) berkenaan dalam perjalanan naik bersama seorang rakan selepas melakukan kerja perlombongan, tiba-tiba terdengar bunyi loceng (ia digunakan untuk memberitahu ada pekerja di tingkat lain ingin menggunakan lif).

"Tetapi ketika tiba di tingkat di mana loceng berkenaan dibunyikan, didapati tiada orang dan mereka berdua berpandangan sesama sendiri. Seolah-olah mengerti keadaan itu, kapten berkenaan mempersilakan 'dia' masuk," katanya yang dilihat agak keberatan menceritakan kisah mistik di terowong berkenaan.



Berkongsi pengalamannya bekerja sebagai pengendali lif selama 16 tahun di terowong itu, Mohammad Shariff berkata, tugasnya itu memerlukan penelitian dalam memastikan lif di terowong dikenali Myah dan Tabeto berfungsi dengan lancar.

"Kita kena teliti dan sentiasa periksa minyak gris supaya perjalanan lif lancar, kena dengar dengan teliti juga kalau ada panggilan loceng daripada pekerja yang berada di bawah tanah," katanya.

Kini, keadaan terowong berkenaan sudah berbeza dan ia dijaga dengan baik oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), yang menjadikan bekas lombong itu sebagai satu daripada tarikan pelancong di Sungai Lembing, yang pernah diberi jolokan El-Dorado Timur pada zaman kegemilangannya.

Kami turut berpeluang memasuki ke terowong berkenaan dengan menaiki replika kereta api pengangkut bijih lombong berkenan bagi melihat sendiri keadaannya pada masa kini.

Terdetik seketika rasa bimbang mengenangkan kisah misteri, ditambah dengan cerita yang mengatakan pekerja di lombong berkenaan hanya memakai seluar dalam ketika bekerja di dalamnya.

Ia menggambarkan keadaan di dalam lombong itu sempit, panas dan sesak, ditambah dengan terowong bawah tanah yang berselirat.

Tetapi perasaan berubah selepas berada di hujung landasan sejauh kira-kira 80 meter itu, ia amat selesa seolah-olah ada sistem penghawa dingin disediakan di bawah terowong berkenaan.

Suasananya amat sejuk dan sunyi mendamaikan. Kami meneruskan perjalanan dan dapat melihat pelbagai peralatan digunakan dalam kerja perlombongan bijih timah yang membawa kami ke zaman dahulu.

Kami dapat merasai pengalaman menaiki lif dengan memasuki sebuah bilik simulator, suasananya sama sahaja dan ia dapat memberi bayangan bagaimana sukarnya untuk mencari bijih besi.

Perjalanan sejauh 1.5 kilometer dalam terowong berkenaan tidak terasa memenatkan dan ia memberi satu pengalaman menyeronokkan walaupun pada mulanya kami disajikan dengan cerita misteri mengenai lombong itu.

Sumber: BHO

Like dan Follow KUANTANLOKA™ di Facebook serta Instagram.
Previous Post Next Post
Sponsored